LEAPMOTOR C10 & B10 KINI DIPASANG SECARA TEMPATAN (CKD) DI GURUN, KEDAH
Baru-baru ini, Stellantis Malaysia telah siarkan satu siaran akhbar rasmi untuk mengesahkan bahawa model SUV elektrik penuh (EV) C10 dan B10 dari jenama Leapmotor yang diedarnya kini dipasang secara tempatan (CKD).
Dua-dua tawaran EV SUV dari jenama baharu dari China tersebut kini dipasang oleh Stellantis Malaysia di kilang CKD miliknya yang terletak di Gurun, Kedah – kilang yang sama yang bakal memasang model-model terpilih jenama Kia juga tidak lama lagi.
Bagi operasi pemasangan tempatan ini, Stellantis berkata ia telah melabur sebanyak €5.3 juta (RM25.04 juta) untuk membangunkan keupayaan pengeluaran tempatan. Ini termasuk proses naik taraf barisan pengeluaran dan infrastruktur kilang Gurun tersebut.
Pada masa yang sama, Leapmotor dan Stellantis akan menggunakan rangka kerja pematuhan global yang sama bagi memastikan model C10 dan B10 CKD ini memenuhi piawaian pembuatan yang ditetapkan.
LEAPMOTOR C10 CKD – DUA WARNA BAHARU, RM125,000
Secara ringkas, model C10 versi CKD yang diposisikan sebagai tawaran EV SUV segmen-D ini dikemaskini dengan dua pilihan warna ekterior baharu – Violet dan Lightning White – untuk naikkan jumlah pilihan warna eksterior ke lima.
Baru disini juga adalah tambahan fob kunci fizikal baharu sebagai tawaran aksesori tambahan pilihan baharu. Selain pembeli baharu, aksesori tambahan ini juga kini tersedia untuk pemilik sedia ada.
Selain itu, tiada perubahan mekanikal boleh kami lapor. Justeru, EV SUV ini kekal dengan pek bateri 69.9kWj, motor elektrik belakang yang menjana 218HP dan 320Nm, serta kebolehan jarak gerak maksimum WLTP sejauh 424KM.
Tiada perubahan bagi harganya juga, iaitu RM125,000. Termasuk sekali adalah jaminan waranti kenderaan asas 4-tahun atau 100,000KM, serta jaminan waranti bateri voltan tinggi selama 8-tahun atau 160,000KM.
LEAPMOTOR B10 – RM118,800
Model B10 yang diposisikan sebagai tawaran EV SUV segmen-B, tiada perubahan spesifikasi besar juga boleh lapor. Seperti model C10 tadi, fob kunci fizikal kini ditawar sebagai aksesori tambahan pilihan baharu bagi pembeli baharu dan pemilik sedia ada.
Kekal di sini ialah pek bateri 67.1kWj, motor elektrik belakang yang menghasil 218PS dan 240Nm, platform seni bina LEAP 3.5 terbaru Leapmotor, serta kebolehan jarak gerak maksimum WLTP sejauh 434KM.
Kekal juga adalah harga jualan model EV SUV ini, iatu RM118,800 tanpa insurans. Jaminan waranti kenderaan asas 4-tahun atau 100,000KM, serta jaminan waranti bateri voltan tinggi selama 8-tahun atau 160,000KM, juga termasuk dalam harga tersebut.






