BYD RASMI MULA CKD MODEL SHARK 6 DI MALAYSIA BERSAMA INOKOM
Akhirnya, BYD Malaysia telah rasmi umumkan permulaan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia bersama rakan pemasangnya iaitu Inokom milik Sime Motors. Pengumuman rasmi tersebut dibuat awal hari ini di kilang Inokom yang terletak di Kulim, Kedah.
Turut hadir semasa majlis pengumuman tersebut adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Pengumuman itu menandakan perkembangan penting dalam strategi jangka panjang BYD di Malaysia, daripada pengimportan dan pengedaran kepada pemasangan kenderaan tempatan.
Menarik sekali disini juga adalah pendedahan model pertama yang akan dihasilkan operasi ini iaitu BYD Shark 6 – trak pikap tenaga baharu (NEV) dari jenama tersebut yang dipacu tren kuasa jenis plug-in hybrid (PHEV).
Pemilihan trak pikap 4x4 PHEV tersebut mencerminkan keyakinan BYD terhadap potensi pertumbuhan segmen berkenaan, selain memperluas penawaran teknologi hibridnya kepada lebih ramai lagi pembeli. Walaupun operasi pemasangan telah mula, harga jualan bagi model tersebut masih belum diumumkan, tetapi ini bakal berubah dalam masa terdekat.
Melalui operasi CKD ini, BYD bakal memanfaatkan kemudahan pemasangan sedia ada, tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan Sime Motors untuk membangunkan operasi CKD di negara ini. Tambah BYD lagi, kerjasama ini juga bakal membuka peluang kepada vendor tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan automotif bagi jenama tersebut.
Inisiatif berkenaan juga menyokong aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), khususnnya dalam usaha pembangunan ekosistem Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), serta peningkatan keupayaan pembuatan dan pemindahan teknologi.
Tambah Datuk Seri Johari lagi, pelaburan sebegini bukan sahaja membawa masuk teknologi baharu, malah ia juga menggalakkan persaingan sihat, inovasi dan peningkatan piawaian industri automotif negara.
Pada masa yang sama, Pengarah Urusan BYD Malaysia Jacob Ma turut bertambah operasi CKD ini merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang BYD untuk Malaysia. Belaiu juga menegaskan aktiviti ini juga termasuk perkongsian teknologi, kepakaran dan pembangunan kemahiran tenaga kerja.







