Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

SAIC MOTOR MALAYSIA BUKA PUSAT 3S MG BAHARU DI RAWANG

19 Aug 2026
SAIC MOTOR MALAYSIA BUKA PUSAT 3S MG BAHARU DI RAWANG
1 / 3

SAIC Motor Malaysia telah kembangkan lagi rangkaian bagi jenama utamanya iatu MG. Tambahan terbaru sekali adalah sebuah pusat 3S MG yang baharu saja rasmi dibuka awal minggu ini di Rawang yang dikendali oleh pengedar sah SNS Kembara Utama Sdn Bhd.

Menurut SAIC Motor Malaysia, pembukaan ini adalah sebahagian strategi syarikat tersebut untuk mendekatkan pengalaman MG kepada lebih ramai pelanggan, khususnya di koridor utara Lembah Klang.

“Pembukaan pusat 3S oleh SNS Kembara Utama di Rawang bukan sahaja memperkukuh kehadiran MG di kawasan ini, malah menyokong usaha syarikat membangunkan rangkaian kukuh di seluruh negara dengan pengalaman pelanggan yang konsisten,” ujar Emory Qi, pengarah urusan SAIC Motor Malaysia.

Terletak di Kawasan Perindustrian Hi-Tech Rawang, pusat 3S MG ini beroperasi di bangunan kilang berkembar satu setengah tingkat dengan keluasan sekitar 1,200 meter persegi.

Di bahagian bilik pamerannya yang kini sudah mula beroperasi, ia dilengkapi ruang pameran kenderaan luas, serta ruang menunggu pelanggan yang menyediakan sambungan wi-fi, serta sajian kopi dan makanan ringan. Bilik pameran ini terbuka Isnin ke Sabtu dari 9AM ke 5:30PM, serta pada hari Ahad dan cuti umum dari 11AM ke 4PM.

Buat masa kini, bahagian servis di pusat 3S ini di Rawang belum beroperasi sepenuhnya lagi. SAIC Motor Malaysia jelaskan bahagian akan mula beroperasi tidak lama lagi, dan perkhidmatan selepas jualan akan diperkenalkan secara berperingkat.

Dengan penambahan pusat baharu ini, rangkaian jualan dan servis jenama MG bawah seliaan SAIC Motor Malaysia kini merangkumi 26 pusat di seluruh negara.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis