Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

MERCEDES-BENZ CLA ELECTRIC RASMI DILANCAR – 792KM WLTP, DARI RM274,888

17 Aug 2026
MERCEDES-BENZ CLA ELECTRIC RASMI DILANCAR – 792KM WLTP, DARI RM274,888
1 / 14

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah rasmi memperkenalkan Mercedes-Benz CLA Electric untuk pasaran tempatan. Model saloon empat-pintu berbumbung a la coupe generasi ketiga versi elektrik (kod casis: C174) ini ditawarkan dalam versi CLA 250+.

Model ini ditawarkan pada harga asas RM274,888 tanpa insurans, dan ia termasuk waranti pengeluar selama empat tahun.

CLA generasi baharu elektrik ini adalah salah satu model penting buat jenama bintang tiga-bucu ini kerana ia memperkenalkan beberapa teknologi terbaru seperti Mercedes-Benz Operating System (MB.OS), seni bina elektrik 800-volt, dan transmisi dua-kelajuan pada gandar belakang.

Khusus bagi versi CLA 250+, ia dilengkapi setup motor elektrik tunggal yang menjana 272HP dan 353Nm untuk memacu roda belakangnya. Pecutan 0-100km/j boleh dicapai hanya dalam 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210km/j.

Menariknya, transmisi dua-kelajuan yang disebut tadi menggunakan nisbah 11:1 untuk pecutan awal dan kecekapan ketika memandu dalam bandar. Gear kedua pula guna nisbah 5:1, dan ia digunakan pada kelajuan lebih tinggi bagi membantu meningkatkan kecekapan tenaga perjalanan jauh.

Titik pertukaran gear ditentukan mengikut keadaan pemanduan dan driving programme yang digunakan, selain penyelarasan oleh sistem dalam MB.OS berdasarkan tahap bateri, kuasa serta permintaan pemandu.

Setup ini dikuasai pek bateri 85kWj yang menjanjikan jarak gerak maksimum WLTP antara 673KM hingga 792KM. Pek ini juga lengkap dengan sokongan pengecasan pantas AC 11 kW, serta pengecasan DC sehingga 320kW yang membolehkan pengecasan 10-80% dalam 22 minit.

Selain itu, CLA electric merupakan model pertama Mercedes-Benz yang beroperasi sepenuhnya menggunakan MB.OS – sistem operasi yang dibangunkan sendiri pengeluar itu. Secara ringkas, perisian ini bertindak sebagai 'otak' kepada kereta untuk mengawal tiga bahagian utama –infotainmen, body & comfort (keselesaan), serta driving & charging (panduan dan pengecasan).

Sistem ini juga membolehkan kemas kini over-the-air dilakukan kepada keseluruhan perisian kenderaan termasuk sistem bantuan pemanduan, sekali gus membolehkan fungsi kereta terus dikemas kini sepanjang tempoh pemilikan.

Pada masa sama, MBUX generasi keempat kini menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada Microsoft dan Google. Ia juga menggunakan teknologi Google Gemini dan Google Maps untuk fungsi navigasi yang lebih canggih melalui paparan digital MBUX Superscreen yang menggabungkan paparan meter 10.25-inci dengan skrin kembar 14-inci untuk penumpang.

Kelengkapan utama lain yang disertai termasuk kemasan luaran dan kabin AMG Line, tempat duduk hadapan AMG Line Sports Seat Package, serta pakej bantuan pemanduan (ADAS) MB.Drive Standard dan MB.Drive Parking Assist 360.

Akhir sekali, selain pelancaran CLA 250+ baharu ini, MBM juga telah umumkan tempahan awal unutk model S-Class (W/V223) versi facelift kemaskini terbaharu dan juga model GLC Electric (X540) terbaharu sudah buka. Harga anggaran GLC Electric berada di antara RM370,000 dan RM400,000, manakal harga anggaran S-Class facelift akan diumum tidak lama lagi.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis