Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

MBM PERKENALKAN MB.CHARGE PUBLIC UNTUK PENGGUNA EV

17 Aug 2026
MBM PERKENALKAN MB.CHARGE PUBLIC UNTUK PENGGUNA EV
1 / 6

Serentak dengan pelancaran CLA 250+ Elctric baharu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) juga telah ambil kesempatan turut memperkenalkan MB.Charge Public. Menurut syarikat tersebut, perkhidmatan baharu ini bertujuan untuk memudahkan urusan pengecasan EV.

Platform MB.Charge Public ini dibangunkan susulan kerjasama yang dijalinkan MBM bersama sekurang-kurangnya tujuh pengendali pusat pengecasan (charging point operator – CPO) utama tempatan – CarputZap, Charge+, ChargeSini, chargEV, DC Handal, Gentari dan JomCharge. MBM juga tambah ia sedang berunding bersama CPO lain untuk menyokong MB.Charge Public, jadi senarai itu akan berkembang lagi dalam masa terdekat.

Dengan pelancaran ini, Mercedes-Benz menjadi jenama terbaru menyertai sekumpulan kecil pengeluar kereta di Malaysia — selain Tesla dan PRO-NET (Proton e.MAS dan smart) — yang melaksanakan keupayaan pengecasan bersepadu dengan kenderaan mereka.

Walau bagaimanapun, hanya Mercedes-Benz dan Tesla yang menawarkan keupayaan ini terus melalui kenderaan mereka dan aplikasi di Malaysia pada masa ini. Pelaksanaan oleh Tesla juga terhad kepada pengecasnya sendiri, manakala Mercedes-Benz memilih untuk langkah sama sepert PRO-NET untuk bekerjasama dengan operator-operator tempatan.

Melalui applikasi mudah alih Mercedes-Benz App dan juga paparan infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) sedia ada dalam kenderaan jenama tersebut, MB.Charge Public membolehkan pengguna boleh mencari lokasi pengecas, membuat navigasi, memulakan sesi pengecasan dan melakukan pembayaran menerusi satu platform.

Justeru, pengguna MB.Charge Public boleh mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka tanpa perlu menggunakan langganan berasingan untuk setiap operator.  Di Malaysia, MB.Charge Public kini menyediakan akses kepada lebih 3,000 titik pengecasan di lebih 1,000 lokasi.

Mercedes-Benz tidak mengenakan sebarang yuran perkhidmatan atau tambahan ke atas yuran pengecasan apabila pengguna menggunakan MB.Charge Public untuk mengecas EV atau PHEV mereka. Dalam erti kata lain, yuran pengecasan adalah sama dengan apa yang mereka akan bayar jika mereka menggunakan aplikasi CPO atau terminal pembayaran secara langsung.

Menarik sekali, perkhidmatan MB.Charge Public turut boleh digunakan ketika perjalanan antara Malaysia dan Singapura melalui rangkaian operator pengecasan yang mengambil bahagian di kedua-dua negara.

Buat masa kini, MBM tidak mengesahkan ciri ini akan meliputi negara ASEAN lain, tetapi syarikat itu tidak menolak kemungkinan untuk berkembang lebih lanjut dalam masa terdekat.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis