Berita baik bagi peminat yang sudah kian lama menunggu. Hari ini, Honda Malaysia telah rasmi umumkan harga bagi Honda Prelude – tawaran coupe prestasi tinggi hybrid terbarunya.
Pada RM278,000, model import penuh (CBU) ini diposiskan sebagai alternatif yang lebih mampu milik dan lebih cekap tenaga berbanding Civic Type R. Harga tersebut termasuk jaminan waranti sistem dan komponen hybrid 10-tahun tanpa had batuan terbaru dari Honda Malaysia.
Sebagai imbasan semula, Honda Malaysia telah membuka tempahan untuk model Prelude ini beberapa bulan lepas. Nadi hybridnya yang merangkumi enjin 2.0-liter 4-silinder petrol, motor elektrik, bateri lithium-ion 1.1kWj, serta transmisi e-CVT yang tampil dengan fungsi S+ Shift.
Dengan output keseluruhan 200HP & 315Nm, pecutan 0-100km/j mampu dicapai dalam masa 8.2 saat, manakala kadar kecekapan bahan apinya pula adalah 4.2 liter/100KM.
Seperti kami laporkan dahulu, model ini berkongsi kerangka (casis) serta komponen prestasi tinggi bersama model Civic Type R, terutamanya sistem gantungan (suspension) dan brek.
Akhir sekali, pakej bantuan pemanduan (ADAS) penuh Honda Sensing juga tersedia sebagai kelengkapan standard.


