Sempena karnival YamahaGenBlu 2026 yang berlangsung pada hujung minggu lepas di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM),selaku pengimport, pengedar dan pemasang motosikal jenama Yamaha, telah rasmi melancarkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan.
Tambahan terbaru ini merangkumi model Yamaha XSR 155, Yamaha Y16ZR-R, serta Yamaha XMax 300 Tech Max. Bagi laporan ini, kami akan khsus fokus pada XSR 155 fan Y16ZR-R dahulu.
2026 YAMAHA XSR 155 – DARI RM12,998 (ASAS)
Kami mula dengan model XSR 155 yang sudah lama diminta oleh peminat tempatan selama beberapa tahun. Model ini tampil sebagai tawaran titik permulaan (entry point) bagi barisan model jenis naked bergaya modern retro (neo-retro) XSR jenama terkemuka Jepun ini.
Model ini dikuasai nadi 155cc silinder tunggal SOHC empat-injap lengkap dengan penyejukkan cecair dan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) untuk menjana output 19HP dan 14.4Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan manual dengan pacuan rantai dan klac jenis Assist & Slipper.
Dari segi casis, sorotan utama termasuk fork hadapan jenis Upside Down (USD) dengan kemasan emas yang dipadankan dengan setup Monocross belakang, serta setup brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS dwi-saluran, serta rim aloi 17-inci lengkap dengan tayar jenis dwi-kegunaan (dual-purpose).
Penggayaan ‘modern retro’ tampil menyerlah melalui sistem pencahayaan LED penuh siap dengan lampu hadapa bentuk bulat, tangki bahan api rekaan ‘teardrop’ 10-liter, tempat duduk klasik berusuk, paparan meter digital LCD yang berbentuk bulat, serta pilihan warna Malar Hijau, Perak Klasik dan Royale Hitam.
Menurut HLYM, XSR 155 akan tiba di lantai pengedar sah seluruh negara dalam sekitar suku terakhir (Q4) tahun dengan harga asas RM12,998 (tanpa insurans dan yuran pendaftaran).
2026 YAMAHA Y16ZR-R – DARI RM10,888 (ASAS)
Seterusnya, HLYM juga perkenalkan 2026 Yamaha Y16ZR-R. Berasaskan model Y16ZR yang sudah terkenal ramai, ini adalah ‘supermoped/supercub’ berprestasi tinggi versi lebih premium yang tampil dengan beberapa penambahbaikan.
Dari segi mekanikal, model ini kekal dengan nadi 155cc silinder tunggal SOHC dengan penyejukkan cecair, tetapi ia telah dinaiktaraf dengan nisbah gear sekunder baharu serta saiz sprocket yang ditingkatkan dari 46T ke 48T. Dengan itu, outputnya juga telah naik dari 17.7HP ke 18.2HP, manakala daya kilas (tork) pula kekal pada 14.4Nm.
Selain itu, evolusi daripada model Y16ZR ini juga diberi peningkatan dari segi keselamatan dengan tambahan sistem kawalan cengkaman (Traction Control System – TCS). Dengan ini, Y16ZR-R tampil sebagai model moped/underbone (kapcai) pertama dari jenama Yamaha yang dilengkapi fungsi tersebut.
Selain itu, model ini juga melihat penggayaannya dikemaskini dengan rekaan lebih tajam dan aerodinamik. Ciri-ciri premium lain yang dilengkapi termasuk panel meter digital LCD baharu, serta Unit Kawalan Komunikasi Ringkas (SCCU) yang berfungsi bersama aplikasi Yamaha Motor Connectivity (Y-ON).
Menari sekali, HLYM juga mengumumkan versi Yamaha Y16ZR-R Edisi Terhad Pramac Racing Replica. Terhad pada 3,000 unit seluruh dunia, varian ini tampil dengan grafik eksklusif Yamaha Prima Pramac MotoGP Team, nombor siri unik, serta penyerap hentak belakang Öhlins dengan talaan khas bagi model ini.
Dua-dua versi 2026 Yamaha Y16ZR-R ini bakal tiba di pengedar sah bermula bulan Ogos ini dengan harga asas (tanpa insurans dan yuran pendaftaran) RM10,888 bagi versi standard dan RM13,388 bagi varian edisi terhad MotoGP yang disebut tadi.





















































