Pada majlis sambutan ulang tahun keduanya bersama media hari ini, MG Motor Malaysia (SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd) dedah bahawa jualannya pada suku pertama tahun ini (Q1 2026, 807 unit diserah) telah meningkat sebanyak 57% berbanding suku pertama tahun lepas (Q1 2025, 513 unit diserah).
Jenama tersebut juga mengesahkan penyertaan mereka dalam Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang akan berlangsung pada bulan ini di MITEC, KL. Mereka juga dedah sekurang-kurangnya satu model baharu akan ditayangkan buat kali pertama di Malaysia semasa itu.
Sempena itu, MG Motor Malaysia juga sahkah kehadiran khas Jozef Kaban, Naib Presiden Reka Bentuk Global SAIC Motor di KLIMS 2026. Pereka automotif terkemuka itu bakal kongsi pandangan, falsafah serta evolusi identiti design global jenama MG bersama pengunjung yang hadir ke KLIMS 2026.
Dari segi produk, MG Motor Malaysia sekali lagi mempamerkan model MG S5 EV yang kini dihasilkan melalui operasi pemasangan tempatan (CKD) oleh EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka. Model ini dikemaskini dengan output yang telah dinaik taraf ke 151kW (205PS) & 350Nm, serta kebolehan pengecasan laju DC setinggi 150kW.
Penting sekali, harga rasmi MG S5 EV CKD juga diumumkan, dan ia bermula dari RM116,900. Sebuah pakej khas pembeli terawal juga ditawarkan yang membawa manfaat bernilai RM9,000. Termasuk sekali adalah jaminan waranti kenderaan asas 7-tahun atau 150,000KM, waranti pek bateri EV selama 8-tahun atau 180,000KM, dan waranti unit kawalan motor EV selama 8-tahun atau 160,000KM.





