Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

2026 BMW M2 CS RASMI DILANCAR – DARI RM950,800

16 Jul 2026
2026 BMW M2 CS RASMI DILANCAR – DARI RM950,800
1 / 31

Selain model BMW M3 Touring Competition M xDrive, BMW Group Malaysia juga mengambil kesempatan untuk perkenalkan 2026 BMW M2 CS terbaru sempena acara BMW Clubhouse 2026 yang berlangsung minggu ini di Factory 19, Petaling Jaya dari 17 hingga 19 Julai.

Model M2 Coupe generasi kedua (kod casis: G87) dalam versi CS ini tiba di Malaysia dengan pelbagai peningkatan kelengkapan, serta prestasi yang lebih tinggi berbanding versi M2 Coupe standard biasa yang dilancarkan bulan Jun 2025 lepas – ini adalah versi yang paling fokus dan berkuasa sekali.

Nadi 6-silinder sebaris 3.0-liter turbo petrol S58B30 di bawah bonetnya, serta tahap output 530PS & 650Nm dikongsi dengan M3 Touring yang dilancar sekali hari ini. Jika dibandingkan, M2 Coupe versi biasa yang disebut tadi hanya menghasil 480PS & 600Nm walaupun ia kongsi enjin yang sama – dua-dua diberi setup talaan enjin berlainan.

Enjin tersebut dipadankan degan transmisi 8-kelajuan automatik M Steptronic bersama differential M Sport untuk memacu roda belakang secara eksklusif. Semua ini membolehkan M2 CS capai pecutan 0-100km/j dalam 3.8 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 302km/j yang dibolehkan M Driver’s Package yang dilengkapi juga.

Ciri-ciri utama casis lain termasuk setup sistem gantungan adaptif, ketinggian badan 8MM lebih rendah dari versi standard, sistem brek M Compound BMW dengan angkup (caliper) warna merah, serta set rim aloi tempa ringan M Style 827 yang dihiasi warna Gold Bronze bersaiz 19-inci (hadapan) dan 20-inci (belakang).

Menarik sekali, dalam versi CS, tawaran coupe prestasi tinggi ini juga dilengkapi banyak komponen plastik-gentian karbon (CFRP) yang bantu kurangkan beratnya lagi – sekitar 30KG. Selain itu, tempat duduk bucket M Carbon larasan kuasa juga dilengkapi dan, selain penampilan dramatik, ia membantu pemandu kekal di tempatnya.

Terus ke harga, 2026 BMW M2 CS kini buka untuk tempahan dengan harga asas RM950,800 tanpa insurans. Jika pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) dipilih, angka tersebut naik ke RM993,100, dan ia datang sekali dengan jaminan serta pakej servis kenderaan sealam tempoh 5-tahun.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis