PRODUK

ZXMOTO rasmi tiba di Malaysia dengan 3 model baharu

14 Sep 2026
ZXMOTO rasmi tiba di Malaysia dengan 3 model baharu
1 / 8

ZXMOTO rasmi tiba di Malaysia dengan 3 model baharu

ZXMOTO, jenama motosikal yang mendapat perhatian di atas kejayaan di siri perlumbaan WorldSSP, kini rasmi dilancarkan di Malaysia, melalui pengedar rasmi MForce.

Pelancaran ZXMOTO, yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, diiringi pelancaran 3 model motosikal, iaitu 500F, 500RR dan 820RR. 

Jenama ZXMOTO yang diasaskan veteran industri motosikal dari China, Zhang Xue, ditubuhkan pada tahun 2024 dan telah mencapai jumlah jualan 25,000 unit pada tahun 2025. Beliau yang hadir sendiri ke pelancaran jenama itu berkata bahawa penyertaan di dalam siri-siri perlumbaan membolehkan syarikat itu menerjemahkan teknologi perlumbaan ke dalam model-model yang dikeluarkan.

ZXMOTO juga mendapat perhatian apabila menjadi pengeluar pertama memenangi perlumbaan dalam FIM Supersport World Championship (WorldSSP) yang didominasi oleh jenama-jenama Jepun dan Eropah. WorldSSP juga adalah siri perlumbaan yang hanya membenarkan motosikal yang dimodifikasi berdasarkan model yang dikeluarkan dari kilang, dan tidak membenarkan motosikal prototaip (contohnya, seperti di dalam perlumbaan MotoGP).

ZXMOTO 500F adalah binaan “naked bike” seberat 175kg yang dikuasakan enjin 470 cc empat silinder, yang menghasilkan kuasa maksimum 54 kW pada 11,000 rpm dan tork maksimum 48 Nm pada 9,500 rpm. Selain tangki bahan api 15 liter, model ini datang dengan suis keselamatan tongkat sisi, sistem pencahayaan LED, Daytime Running Light (DRL), sistem kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS). Model ini ditawarkan pada harga RM28,888.00.

Model 500RR yang berharga RRP RM29,888 pula mempunyai binaan supersport, dan merupakan tawaran berorientasikan litar. Model ini dikuasakan enjin 470.2 cc empat silinder dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan 62 kW pada 13,500 rpm dengan tork maksimum 46 Nm pada 11,500 rpm. Ia dilengkapi paparan TFT, sistem LED dan juga lima mod tunggangan termasuk mod yang boleh disesuaikan. Model ini juga datang dengan Quickshifter dua arah dan sistem kawalan pelayaran (CCS).

Model kapasiti terbesar jenama ini, 820RR yang ditawarkan pada harga RM39,888 pula dikuasakan enjin 818.8 cc tiga silinder, 12 injap, DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan minyak. Ia dilengkapi kebolehan boleh laras dari segi prabeban dan redaman bagi sistem gantungan hadapan dan penyerap hentak belakang. 

Semasa acara pelancaran Zhang juga berkata ZXMOTO menyasarkan menjual 200,000 unit motosikal di seluruh dunia pada tahun 2027. 

Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad pula berkata bahawa jenama itu bakal membuka pusat pameran “flagship” di Malaysia, bermula dengan Pulau Pinang dan Johor diikuti dengan lebih banyak cawangan di seluruh negara. 

Model-model yang dilancarkan semalam akan diedarkan kepada pelanggan mulai Oktober 2026.

Kembali ke lamanTekan Habis