Zeekr Intelligent Technology (Malaysia) Sdn Bhd (Zeekr Malaysia) baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama DC Handal. Dengan kerjasama ini, dua-dua pihak sasar untuk mengembangkan lagi ekosistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Khususnya, kerjasama ini melihat Zeekr memanfaatkan rangkaian pengecasan sedia ada DC Handal untuk menawarkan kemudahan pengecasan Zeekr Power di seluruh negara. Penting sekali, tumpuan awal kerjasama ini adalah untuk menambah baik akses pengecasan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Ini merupakan langkah penting ke arah memastikan pelanggan kami menikmati pengalaman mobiliti elektrik yang lancar dan premium, sama ada di bandar atau dalam perjalanan jarak jauh,” kata Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia, melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan jenama tersebut.
Menurut Zeekr, rangkaian Zeekr Powernya telah merevolusikan ekosistem pengecasan ultra pantas dalam era 800V. Ia mendakwa mengendalikan rangkaian pengecasan ultra pantas yang diterajuinya di China dengan 860 stesen pengecasan ultra pantas 800V, 4,134 pengecas dan 1,536 stesen pengecasan pantas merentasi 183 bandar di China.
Bagi DC Handal pula, syarikat tersebut kini mengoperasi sebanyak 250 lokasi pengecasan EV di seluruh negara. Mereka juga berkata unit pengecasan pantas DC terbarunya mampu memberi kuasa pengecasan setinggi 400kW, dan unit-unit ini juga berpotensi untuk menyokong sehingga kelajuan pengecasan 640kW.

