Awal minggu ini, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) telah rasmi umumkan varian terbaharu bagi model Elegan EX 250. Tawaran maxi-scooter tersebut kini hadir dengan tiga pilihan warna dan grafik baharu, serta satu aksesori percuma.
Pembeli boleh pilih antara warna Light Sage Green, Matte Brown dan Bright Grey Blue mulai bulan ini (Julai) bagi model ini yang tersedia di melalui pengedar-pengedar sah. Selain rombakan pilihan warna, model ini juga kini ditawarkan dengan top box jenama GIVI bernilai RM500 secara percuma.
Menurut Roslan Roskan, ketua pegawai eksekutif (CEO) jenama dua roda nasional tersebut, pengenalan varian yang dikemas kini ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menawarkan produk yang memenuhi keperluan pengguna tempatan yang sentiasa berkemban.
Selain ubahan warna dan aksesori tambahan percuma yang disebut, tiada perubahan mekanikal boleh kami lapor. Maxi-scooter popular ini masih terus mengguna nadi 249cc satu-silinder SOHC dengan penyejukan cecair dengan output 22.4HP & 22.4Nm, dan enjin tersebut masih lagi dipadankan transmisi automatik CVT.
Ciri-ciri utama lain yang dilengkapi juga termasuk setup brek cakera depan dan belakang bersama sistem ABS dwi-saluran, tangki bahan api 13 liter, panel meter digital LCD, soket pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk luas, penghadang angin aerodinamik besar, dan banyak lagi.
Bincang pasal harga, tawaran maxi-scooter ini masih lagi berdiri sebagai salah satu pilihan paling mampu-milik dalam segmennya dengan harga asas RM17,700 tanpa cukai jalan, insurans, dan pendaftaran. Termasuk sekali adalan jaminan waranti pengeluar selama 2-tahun atau 20,000KM.


