PRODUK

VOGE SR450X KINI HADIR - DARI RM29,888

13 Nov 2026
VOGE SR450X KINI HADIR - DARI RM29,888
1 / 36

Setelah dipamerkan awal tahun ini semasa Malaysia Bike Show 2026 (MBS 2026), tawaran skuter kembara (adventure skuter) Voge SR450X kini rasmi hadir di pasaran tempatan. Perkara itu rasmi diumumkan pengedar jenama tersebut iaitu MForce Bike Holdings (MForce) awal minggu ini.

Terus ke harga dan skuter kembara premium ini ditawarkan dengan harga asas RM29,888 (tanpa insurans dan pendaftaran). Turut disertakan dalam harga tersebut ialah jaminan waranti 2-tahun atau 20,000KM. MForce juga memberi perlindungan komponen enjin tanpa had perbatuan bagi baki tempoh waranti sekiranya perbatuan melebihi had ditetapkan.

Terus ke spesifikasi utama, Voge SR450X tampil dipacu enjin 398 cc dwi-silinder dengan setup 8-injap yang menghasilkan 42HP pada 8,000RPM dan 42Nm pada 5,750RPM. Dengan itu, ia kini berdiri sebagai tawaran pertama dalam segmennya yang menggunakan enjin dwi-silinder.

Secara tipikal, nadi tersebut dipadankan dengan transmisi CVT automatik beserta pacuan tali sawat. Ia juga menawarkan penunggang dengan dua pilihan mod tunggangan - Normal dan Sport. Turut dilengkapi sini adalah tangki bahan api besar berkapasiti 18-liter.

Beralih ke bahagian casis, Voge SR450X tampil dengan fork hadapan teleskopik terbalik (USD) 37MM boleh laras dengan padanan penyerap hentak berkembar belakang yang dibekalkan KYB, setup lengan ayun aluminium satu sisi (single-sided swingarm), brek cakera hadapan 300MM dengan angkup empat-piston J.Juan, serta brek cakera belakang 240MM dengan angkup Nissin.

Dari segi keselamatan, ciri-ciri utama yang dilengkapi termasuk sistem brek ABS dwi-saluran, sistem kawalan cengkaman (TCS), serta sistem pantauan titik buta (BSM) dan sistem pantauan tekanan angin tayar (TPMS).

Ciri-ciri premium lain yang turut hadir termasuk paparan meter digital TFT 7-inci dengan fungsi navigasi melalui aplikasi Carbit Ride dan sambungan Blueooth, sistem kunci pintar, set kamera ‘dashcam’ depan dan belakang, pencayahayaan LED penuh, pemanas grip dan tempat duduk, serta penghadang angin boleh laras bermotor.

Akhir sekali, tawaran skuter kembara premium ini juga Tersedia dalam tiga pilihan warna badan - Alpine Green, Cosmic Blue dan Onyx Black.

Kembali ke lamanTekan Habis