INDUSTRI

VICTORIOUS STEP RASMIKAN BANGUNAN NO. 7, 58 BAKAT DILATIH PROGRAM AKADEMI DALAM INDUSTRI (ADI)

30 Sep 2026
VICTORIOUS STEP RASMIKAN BANGUNAN NO. 7,  58 BAKAT DILATIH PROGRAM AKADEMI DALAM INDUSTRI (ADI)
1 / 6

Victorious Step Sdn. Bhd. (VSTEP), syarikat pembuatan automotif berkhususkan pengacuan plastik dan pemasangan komponen automotif hari ini melancarkan Bangunan No. 7 syarikat itu di Shah Alam, dengan pelaburan kira-kira RM12 juta.

Bangunan seluas 800 meter persegi itu dilengkapi teknologi pembuatan pintar, robotik, sistem pengeluaran automatik, pemantauan pengeluaran secara dalam talian serta aplikasi Smart Quality, membolehkan VSTEP meningkatkan produktiviti, kualiti, kecekapan operasi, serta mengurangkan kebergantungan kepada operasi manual.

“Teknologi sahaja tidak mampu mentransformasikan sesebuah syarikat. Kita memerlukan individu yang memahami teknologi, mengetahui cara menambah baik proses dan mempunyai minda untuk terus belajar. Sebab itu kita melancarkan Bangunan No.7 bersama Program Akademi Dalam Industri”, kata Ismail Ibrahim, Pengarah Urusan VSTEP.

Acara perasmian kilang baharu VSTEP ini juga menyaksikan pelaksanaan Program ADI di VSTEP, dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia. Program ini bakal melatih 58 peserta program di dalam operasi di kilang-kilang VSTEP selama 12-18 bulan bagi peserta menimba pengalaman dan kemahiran secara terus di dalam persekitaran pembuatan sebenar.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah, MPC.

Apabila ditanya Tekan Habis, program yang melibatkan kerjasama 4 kementerian ini memastikan pengalaman yang ditimba peserta ini menepati keperluan industri dan juga kompetensi berasaskan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) yang diterajui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Pada masa yang sama, sepanjang program ADI, pelatih diberikan pendedahan teori oleh jurulatih dari JPK, dan berpotensi diserap terus ke dalam operasi VSTEP sekiranya berkelayakan di penghujung program. Program ADI mengambil kemasukan dari lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan graduan dapat memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 selepas menjalani program ini.

“Pendekatan ini semakin penting apabila landskap industri berubah dengan begitu pantas, didorong oleh kecerdasan buatan, automasi, pendigitalan, teknologi hijau dan teknologi baharu. Perkembangan ini bukan sahaja mengubah cara syarikat beroperasi, malah turut mengubah jenis kemahiran dan kompetensi yang diperlukan daripada tenaga kerja”, kata Dr. Norjayadi di dalam ucapan pelancarannya.

Kembali ke lamanTekan Habis