UMUM

UMW TOYOTA UMUM KHIDMAT LEPAS-JUALAN YANG DINAIK TARAF

05 Nov 2026
UMW TOYOTA UMUM KHIDMAT LEPAS-JUALAN YANG DINAIK TARAF
1 / 7

Baru-baru ini, UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumum beberapa penambahbaikan terhadap khidmat lepas-jualan (after-sales) melalui rangkaian pusat servis sahnya. Ini termasuk skim kenderaan ihsan (courtesy car) dan sebuah kempen servis khas buat pemilik ‘recond’.

Bermula dengan program kederaan ihsan baharu tersebut, khidmat ini ditawarkan melalui program Mobili-T Assist. Menerusi ini, pelanggan yang layak di bawah Toyota Insurance Program (TIP) boleh mendapatkan kenderaan ihsan secara percuma sekiranya kenderaan mereka memerlukan tempoh kerja pembaikan yang dianggarkan melebihi 14 hari.

“Kemudahan ini membolehkan pelanggan meneruskan urusan harian sementari menunggu kenderaan mereka siap dibaiki. Tempohnya hingga lima hari, tertakluk pada ketersediaan kenderaan, syarat kelayakan dan terma, selain berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat,” kata syarikat tersebut dalam siaran akhbar rasminya.

UMWT menyatakan pengenalan manfaat ini meletakkan TIP antara pelan insurans kereta terawal di Malaysia yang menawarkan kemudahan kereta gantian percuma. Tambah UMWT lagi, TIP direka khusus untuk pemilik Toyota dengan perlindungan menyeluruh, termasuk pengecualian caj betterment bagi kenderaan berusia sehingga 12 tahun.

Dengan TIP, UMWT membolehkan pelanggan menggunakan Alat Ganti Tulen Toyota bagi tuntutan insurans yang layak tanpa dikenakan caj tambahan berkaitan susut nilai alat ganti. Antara manfaat lain yang ditawarkan termasuk perlindungan Agreed Value sehingga 15 tahun, dengan bayaran 100 paratus daripada jumlah diinsuranskan sekiranya berlaku kehilangan menyeluruh atau kecurian.

Pelanggan turut menikmati perkhidmatan bantuan tepi jalan Toyota 24/7 secara percuma, selain penilaian dan kelulusan tuntutan dalam tempoh 24 jam bagi permohonan lengkap.

Seterusnya, UMWT juga telah umumkan sebuah kempen servis khas baharu khusus buat pemilik kenderaan Toyota ‘recond’ – model-model yang tidak diimport secara rasmi oleh UMWT. Inisiatif ini dilaksanakan melalui program Toyota Extra Mile dimana pemilik kenderaan recond ini diberi beberapa manfaat.

Ini termasuk akses kepada penjagaan kenderaan profesional yang disokong juruteknik bertauliah Toyota, alat ganti tulen, dan piawaian penyelenggaraan tinggi yang ditetapkan Toyota untuk pemilik model-model rasmi. Menurut UMWT, langkah ini mencerminkan reputasi Toyota yang telah lama terbina dari segi kualiti, ketahanan, dan kebolehpercayaan.

“Setiap kenderaan Toyota, termasuk kenderaan Toyota recond, wajar mendapat perhatian daripada pihak yang benar-benar memahami kenderaan tersebut, aspek kejuruteraannya, serta penjagaan yang diperlukan untuk memastikan ia terus beroperasi pada tahap terbaik,” tegas UMWT melalui siaran akhbar rasminya tentang pelaksanaan program baharu ini.

Pemilik kenderaan Toyota recond kini boleh melawati mana-mana pusat servis sah UMWT yang kini berjumlah 103 cawangan di seluruh negara untuk menyelengara kenderaan mereka. Maklumat lanjut termasuk cawangan servis yang mengambil bahagian dalam program ini kini tersedia melalui laman rasmi jenama tersebut – toyota.com.my.

Kembali ke lamanTekan Habis