Kembali ke laman Tekan Habis
SUKAN PERMOTORAN

TIKET F1 BAHRAIN GP DI SIC, MALAYSIA BUKA UNTUK JUALAN BERMULA DARI RM200

14 Aug 2026
TIKET F1 BAHRAIN GP DI SIC, MALAYSIA BUKA UNTUK JUALAN BERMULA DARI RM200
1 / 2

Senarai harga tiket untuk acara Formula 1 Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Malaysia, yang akan berlangsung pada bulan Oktober ini, sudah rasmi dikeluarkan oleh pihak penganjur iaitu Bahrain International Circuit (BIC).

Rakyat Malaysia yang berminat kini boleh membeli tiket mereka secara atas talian. Menariknya, harga tiket tiga hari untuk perlumbaan ini di SIC ditawarkan serendah RM200 sehingga RM2,083 khas bagi pemegang MyKad. Semua harga tertera adalah untuk tiket tiga hari.

Harga permulaan RM200 itu ditawarkan untuk kawasan bukit terbuka G Hillstand yang memberikan pemandangan ke selekoh 4, 5 dan 6. Kami difahamkan ini merupakan tiket khas “Madani” untuk rakyat Malaysia dan pembeli memerlukan MyKad yang sah.

Selain itu, tiket B Hillstand dan C Hillstand juga tersedia. Masing-masing menghadap selekoh 13 dan 14 serta C Hillstand di sekitar selekoh 9, 10 dan 11, dan masing-masing ditawarkan pada harga RM809.60 untuk tiga hari.

Beralih ke pilihan tiket grandstand berbumbung dengan tempat duduk bernombor, ini bermula dari RM1,291.40 untuk F Grandstand. Lokasi ini memberi pandangan terhadap selekoh 7 dan 8, ‘hairpin’ selekoh 15, serta pemandangan kawasan Main Grandstand dan sebahagian besar litar.

Untuk kawasan K1 Grandstand pula yang terletak berhamiran selekoh 1 dan 2, tiketnya ditawarkan pada harga RM1,386.

Akhir sekali, tiket Main Grandstand tampil sebagai pakej terpaling mahal yang ditawarkan BIC, Harga khas buat pemegang MyKad untuk tiket hari untuk kawasan ini adalah RM2,083.

Jualan tiket Bahrain GP di Malaysia kini sudah dibuka menerusi platform BIC dan sambutannya dilihat cukup tinggi. Ketika jualan dibuka, lebih 20,000 pengguna dilaporkan berada dalam barisan menunggu untuk mengakses laman pembelian.

Buat masa ini, tiada rancangan untuk BIC menawarkan tiket satu hari. Dalam masa sama, BIC mengesahkan kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun layak menerima diskaun 25%, kecuali bagi tiket G Hillstand. Manakala, kanak-kanak berusia bawah tiga tahun pula boleh masuk secara percuma.

Walaupun harga dipaparkan dalam nilai Ringgit Malaysia sebagai rujukan, semua transaksi tiket akan diproses menggunakan mata wang dinar Bahrain (BHD). Ini bermaksud jumlah sebenar yang pembeli perlu bayar mungkin berubah mengikut kadar pertukaran mata wang semasa ketika transaksi dibuat.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis