Tekan Habis Podcast mengambil kesempatan awal minggu ini untuk membuat tinjauan di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur di mana The StarCarSifu Auto Show 2026 sedang berlangsung dari 12 hingga 16 Ogos 2026.
Pameran ini dianjurkan oleh akhbar Bahasa Inggeris tempatan terkemuka The Star, khususnya oleh bahagian kandungan automotifnya yang dikenali sebagai CarSifu. Menarik sekali, pameran ini terbuka pada orang ramai tanpa keperluan membeli tiket.
Sekurang-kurangnya 7 jenama utama tampil menyertai pameran ini yang dianjurkan akhbar tersebut di pekarangan Aras G pusat beli-belah popular ini. Termasuk di sini adalah nama-nama seperti Proton (Proton e.MAS), Jetour, Chery, BYD, Nissan, Leapmotor, serta GWM.
Selain pameran kenderaan pelbagai jenis model dan tren kuasa – petrol (ICE), hybrid (HEV dan PHEV) dan elektrik penuh (EV), jenama yang beserta dalam pameran ini juga menawarkan sesi pandu-uji (test-drive) untuk model-model tertentu di atas laluan jalan raya yang melilit pusat beli belah popular ini.
Walaupun skalanya lebih kecil berbanding pameran (dwi)tahunan lain seperti Malaysia Autoshow (MAS) dan KL International Mobility Show (KLIMS), strategi acara The StarCarSifu Auto Show 2026 ini lebih disasarkan pada khalayak ramai pengunjung pusat membeli-belah popular ini.
Dengan pelbagai tawaran menarik yang tampil dengan promosi khas yang bergantung pada jenama dan model, acara ini akan berlangsung dari 10AM ke 10PM sepanjang tarikh anjuran yang disebut tadi.













