INDUSTRI

TAN CHONG MOTOR DINAMAKAN SYARIKAT TERBAIK RANTAU OLEH NISSAN

09 Sep 2026
TAN CHONG MOTOR DINAMAKAN SYARIKAT TERBAIK RANTAU OLEH NISSAN

Pemegang francais kenderaan Nissan di Malaysia iaitu Tan Chong & Sons Motor Company Sdn Bhd (TCM),  telah menerima Nissan Global Award 2026 selepas muncul sebagai pasaran berprestasi terbaik dalam kalangan 20 pasaran Nissan di rantau ini.

Operasi jualan dan pemasaran Nissan di Malaysia dijalankan TCM menerusi anak syarikatnya Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM). Nissan Global Award pula merupakan pengiktirafan tertinggi dari jenama Jepun itu bagi menilai kecemerlangan pengedarnya di seluruh dunia.

Menurut Nissan, pencapaian tersebut menunjukkan keupayaan TCM mengekalkan prestasi perniagaan. Syarikat itu juga telah memberikan tumpuan terhadap kepuasan pelanggan serta kecemerlangan operasi, tambah Nissan lagi.

Pengiktirafan yang dinobatkan TCM itu berdasarkan prestasi tahun fiskal syarikat tersebut dari April 2025 hingga Mac 2026. TCM telah  dinilai Nissan menerusi beberapa aspek utama termasuk prestasi perniagaan, kepuasan pelanggan, kecemerlangan perkhidmatan selepas jualan dan keberkesanan operasi.

Masao Tsutsumi , Presiden Nissan ASEAN dan Nissan Thailand, juga berkata TCM berjaya menyerlah dalam persekitaran industri automotif serantau yang semakin kompetitif dan berkembang pesat. Beliau turut tambah anugerah tersebut adalah pengiktirafan terhadap semangat, disiplin dan kerjasama seluruh warga Tan Chong.

Hubungan Tan Chong bersama Nissan kini sudah berusia hampir 70 tahun – syarikat tempatan itu mula dilantik sebagai pemegang francais jenama Jepun itu sejak tahun 1957.

Kembali ke lamanTekan Habis