INDUSTRI

SURIA COMPONENT MANUFACTURING BAKAL MULAKAN R&D KOMPONEN PEDAL ELEKTRONIK, USAHASAMA BERSAMA SUZHOU CEPP

31 Oct 2026
SURIA COMPONENT MANUFACTURING BAKAL MULAKAN R&D KOMPONEN PEDAL ELEKTRONIK, USAHASAMA BERSAMA SUZHOU CEPP
1 / 7

Syarikat pengeluar komponen Tahap 1 kepada Perodua, Suria Component Manufacturing (Suria) bakal memulakan aktiviti R&D tempatan dalam pembangunan komponen pedal automotif elektronik, selepas memeterai memorandum persefahaman bersama Suzhou CEPP Electronics dari China, di Cyberjaya semalam.

Kedua-dua rakan kongsi akan menubuhkan satu syarikat usaha sama baharu (Pegangan majoriti milik Suria) dalam membangunkan dan mengeluarkan teknologi pedal pendikit (accelerator) dan brek automotif bagi sistem kawalan pemanduan elektronik pintar (drive-by-wire) termasuk sistem kawalan pendikit elektronik (ETC) dan sistem brek kawalan elektronik pintar (brake-by-wire).

Pedal automotif adalah satu komponen kritikal kerana menjadi peralatan utama dalam kawalan kenderaan, seiring dengan modul stereng, signal dan lain-lain komponen. Oleh itu, aktiviti R&D bagi pengeluaran komponen ini menjadi satu titik penting dalam pembangunan ekosistem pengeluaran komponen dalam kalangan vendor-vendor tempatan.

Menurut sumber Tekan Habis yang mempunyai kepakaran dalam peraturan UNECE, penggunaan brek secara elektronik (dry and wet electronic braking) telahpun diwartakan dibawah peraturan UNR13H.02, berkenaan sistem brek bagi kenderaan penumpang. 

Berbeza dengan pemasangan pedal konvensional, pedal pendikit elektronik melibatkan proses pembuatan dan pemasangan yang lebih kompleks, merangkumi komponen mekanikal berketepatan tinggi, penderia elektronik dan antara muka kawalan. Komponen-komponen ini perlu berfungsi dengan boleh dipercayai serta berkomunikasi secara tepat dengan sistem kawalan elektronik kenderaan. Ini memerlukan keupayaan khusus dalam pemasangan, penentukuran dan pengujian akhir barisan pengeluaran.

Fasa pertama yang mempunyai peruntukan pelaburan sebanyak RM5 juta,  bertumpu kepada membina keupayaan penyelidikan, pembangunan dan pengujian (R&D) tempatan, dengan sokongan kepakaran teknikal daripada Suzhou CEPP Electronics.

Menurut Suria, peralatan pengujian bagi fasa pertama kini sudah pun dalam perjalanan ke Malaysia dan dijangka mula beroperasi pada awal suku pertama 2027.

Fasa seterusnya bakal melihat pembangunan kemudahan pembuatan baharu bagi pemasangan pedal pemecut dan brek automotif, dan akan dilengkapi beberapa mesin pengacuan suntikan plastik termaju (advanced injection moulding machine), serta barisan pembuatan dan pemasangan khusus bagi sistem pedal mekanikal dan elektronik.

“Kami sedang beralih daripada penggunaan sistem pautan mekanikal (mechanical linkages) konvensional kepada teknologi kawalan pemanduan elektronik pintar (drive-by-wire). Tumpuan kami adalah kepada pembangunan sistem kawalan pendikit elektronik (ETC) termaju serta pemasangan sistem brek kawalan elektronik pintar”, kata Musa Zahidin, Pengarah Urusan Suria Component Manufacturing.

Suzhou CEPP Electronics mempunyai pengalaman khusus dalam pembangunan dan pembuatan pedal automotif, termasuk menjadi pembekal pedal Tahap 1 (Tier 1) dan Tahap 2 (Tier 2) kepada jenama pengeluar kenderaan besar di China.

Majlis pemeteraian ditandatangani oleh Musa dan Presiden Suzhou CEPP Electronics, Wang Muhao, dan disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Suria merupakan syarikat pengeluar komponen automotif sejak tahun 2000, dan merupakan pembekal kepada Perodua, termasuk komponen bagi kereta elektrik pertama dari QV-E.

Kembali ke lamanTekan Habis