SUBSIDI BAHAN API: KERAJAAN SEDIA TANGGUNG HINGGA RM45 BILION
Susulan lonjakan harga minyak mentah dunia baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkata bahawa kerajaan Malaysia bersedia unutk menanggung kenaikan kos bagi subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah sehingga RM45 bilion setahun.
Menurut Bernama, perkara ini diulaskan Anwar semasa beliau berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 di Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong, di Melaka pada Sabtu lepas.
Beliau turut tambah bahawa kerajaan komited mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah antarabangsa kini telah mencecah antara US$120 hingga US$310 setong.
Langkah itu bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana daripada kesan kenaikan harga bahan api dalam pasaran global.
Harga minyak mentah dunia telah meningkat hampir dua kali ganda berbanding kira-kira US$70 setong sebelum ini, sekali gus menyebabkan banyak negara lain menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan memilih untuk terus menanggung sebahagian besar kos subsidi bahan api bagi mengelakkan rakyat berdepan kenaikan harga petrol yang ketara sekiranya harga diapungkan mengikut pasaran.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut menolak pandangan bahawa pemberian subsidi yang tinggi menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan, sebaliknya menegaskan dasar itu perlu mengambil kira realiti kehidupan golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata kerajaan akan terus mengimbangi usaha memacu pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab memastikan kemajuan negara dapat meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
