SUBANG SKYPARK KINI GUNA ZEEKR 009 SEBAGAI SHUTTLE VIP
Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) dan SkyPark FBO Malaysia Sdn Bhd (SFBO) baharu sahaja menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU).
Melalui kerjasama ini, dua-dua pihak sasar meningkatkan pengalaman penumpang penerbangan perniagaan dan penerbangan am di SkyPark Business Aviation Centre (SBAC), Subang.
Justeru, tawaran MPV mewah elektrik penuh (EV) jenama Zeekr iaitu 009 akan digunakan sebagai kenderaan perantaraan (shuttle) VIP di kawasan airside antara kemudahan SBAC dengan pesawat di Subang SkyPark.
Penggunaan EV MPV mewah tersebut bakal melengkapkan perjalanan penumpang VIP, pemilik jet peribadi dan pengguna perkhidmatan penerbangan sewa khas yang mengutamakan layanan peribadi, serta privasi dan kecekapan.
Hariss Abdullah, Pengurus Besar Kanan SFBO berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada perjalanan penumpang penerbangan perniagaan dan penerbangan am yang cekap, selesa serta diperibadikan dari waktu ketibaan sehingga proses menaiki pesawat.
Belaiu tambah enggunaan Zeekr 009 membolehkan pengalaman tersebut diperluaskan melepasi ruang menunggu menerusi perkhidmatan shuttle VIP yang lebih selesa menuju ke pesawat.
Selain itu, Kerjasama berkenaan turut meningkatkan kehadiran Zeekr Malaysia dalam sektor gaya hidup, hospitaliti dan perniagaan tempatan, selain memperlihatkan kesesuaian MPV elektrik itu untuk perjalanan eksekutif dan penumpang VIP.
Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia, juga tambah kabin berorientasikan eksekutif dan tahap keselesaan kelas pertama mendorong model Zeekr 009 menjadi pilihan sesuai untuk penumpang serta pemimpin perniagaan yang menggunakan SBAC.
Selain tawaran kabin yang luas yang direka mengguna konsep “First-Class Always”, Zeekr 009 yang akan berkhidmat sebagai kenderaan perantaraan VIP ini juga tampil dengan pelbagai kemewahan untuk memupuk pengalaman keseluruhan program ini.
Sorotan utama termasuk tempat duduk Sofaro a la kerusi ‘First Class’ penerbangan dengan fungsi pengudaraan dan urut, kemasan kulit lembut Nappa, paparan infotainmen OLED 3K 17-inci, serta sistem gantungan udara dwi-ruang, dan banyak lagi.
Kelengkapan berkenaan menyediakan ruang peribadi untuk penumpang berehat, menikmati hiburan atau meneruskan urusan kerja sepanjang perjalanan dari ruang menunggu ke pesawat.





