SOCAR HENTI OPERASI, PENGGUNA DITAWAR KREDIT GOCAR SEHINGGA RM200
Dengan keputusan SOCAR untuk menghenti operasi platformnya pada 31 Ogos 2026, pesaing utamanya iaitu GoCar Mobility (GoCar) kini tampil dengan tawaran alternatif kepada pengguna platform tersebut.
Melalui promosi terbarunya, GoCar bakal memberi pengguna SOCAR yang layak dengan kredit mobiliti GoCar sehingga RM200 untuk memudahkan mereka beralih kepada perkhidmatan perkongsian kereta lain.
Kredit berkenaan boleh digunakan untuk membuat tempahan menerusi GoCar Share. Bagaimanapun, penggunaan kredit tersebut dihadkan sehingga RM20 bagi setiap tempahan, bermakna keseluruhan nilai RM200 itu boleh digunakan secara berperingkat untuk beberapa tempahan.
Melalui siaran akhbar rasminya, ketua pegawai eksekutif GoCar Mobility, Wong Hoe Mun, berkata syarikat itu memahami bahawa pengguna SOCAR masih memerlukan akses kepada kenderaan untuk urusan harian, pekerjaan, perjalanan bersama keluarga atau kegunaan sekali-sekala.
Justeru, tawaran tersebut bakal memudahkan proses peralihan, serta memberi peluang kepada pengguna SOCAR untuk mencuba perkhidmatan GoCar. Pada masa ini, GoCar giat beroperasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru serta memberi perkhidmatan kepada lebih 40,000 pengguna setiap tahun.
Bagi pengguna SOCAR yang berminat, mereka boleh mendaftar untuk promosi ini yang telah dibuka dari 19 Ogos hingga 30 September 2026. Pengguna yang layak perlu muat naik tangkap layar baki dompet SOCAR sedia ada untuk tujuan pengesahan sebelum menghantarnya melalui e-mel kepada pihak GoCar.
Kredit promosi sehingga RM200 itu boleh digunakan untuk tempahan yang memenuhi syarat dan dibuat selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026.



