SISTEM SIMPANAN TENAGA DIPASANG BMW DAN UM DI KAMPUNG ORANG ASLI
BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya (UM) memasang sistem penyimpanan tenaga solar menggunakan bateri EV terpakai di Kampung Saweh, Kuala Lipis, menurut siaran media yang dikeluarkan BMW baru-baru ini.
Pemasangan di kampung Orang Asli dari suku Semai yang berada di Pos Sinderut, Pahang ini merangkumi 20 isi rumah, dan sistem simpanan tenaga ini merupakan hasil kerjasama penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya di antara kedua-dua pihak ini.
Jika anda teringat episod bersama BMW dan UM di Tekan Habis yang lalu, anda boleh mendapatkan lebih maklumat teknikal tentang projek bateri hayat kedua ini.
Projek yang dibangunkan Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC) ini mengambil masa 5 hari untuk dipasang, dan membolehkan komuniti ini mendapat bekalan elektrik berterusan buat pertama kalinya.
Sebelum ini, penduduk kampung bergantung kepada generator petrol dan diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik, dan hanya terhad kepada penggunaan lampu dan kipas sahaja.
Sistem baharu ini membolehkan kuasa elektrik dibekalkan secara berterusan, dengan kos yang jauh lebih rendah dan tanpa pelepasan asap. Ianya merangkumi 30 modul bateri BMW yang digunakan semula, dengan kapasiti kuasa penyongsang keseluruhan sebanyak 8kW.
Konfigurasi berpusat yang diguna pakai sistem ini juga membolehkan kapasiti tenaga yang tidak digunakan oleh sesebuah rumah disalurkan kepada rumah lain apabila diperlukan, membolehkan sistem memenuhi permintaan tenaga yang lebih tinggi tanpa memerlukan pemasangan sistem dengan kapasiti yang berlebihan.
Pengarah Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan berkata, “Pengumpulan semula bateri apabila sesebuah kenderaan mencapai penghujung tempoh penggunaannya merupakan amalan standard kami”.
Kerjasama dengan Universiti Malaya membolehkan kami merealisasikan hasil penyelidikan kepada aplikasi praktikal yang mencerminkan prinsip inovasi kitaran. Usaha ini membawa teknologi dari makmal ke sebuah perkampungan, memberikan perubahan bermakna kepada kehidupan seharian penduduk,” tambahnya lagi.
Berdasarkan reka bentuk sistem semasa, bateri-bateri ini dijangka mampu membekalkan tenaga kepada kampung tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun. Jangka hayat ini setanding atau lebih panjang berbanding bateri asid plumbum baharu yang sering digunakan dalam projek elektrifikasi luar bandar pada masa kini, di samping menawarkan kos yang lebih rendah serta pengurangan pelepasan emisi melalui pendekatan ekonomi kitaran.











