SIKA MALAYSA ANJUR UJIAN PELANGGARAN KHAS DI MAKMAL PC3 MIROS
Satu ujian pelanggaran khas telah dianjurkan oleh Sika Malaysia awal minggu ini di Makmal PC3 MIROS yang terletak di Melaka – fasiliti yang sama digunakan organisasi tersebut untuk menjalankan ujian-ujian pelanggaran ASEAN NCAP.
Tujuan ujian ini adalah untuk menunjukkan kepentingan komponen cermin hadapan sesuatu kenderaan dalam kemalangan dan penggunaan bahan pelekat, serta teknik pemasangan cermin hadapan, yang sempurna dan efektif.
Kenderaan yang digunakan Sika Malaysia untuk demonstrasi khas ini merupakan sebuah unit Perodua Ativa varian H. Model dan varian tersebut dipilih sebagai contoh optimum kenderaan popular terkini yang terjual dalam pasaran tempatan.
Sebelum ujian pelanggaran diajalankan, pihak Sika Malaysia juga menjalani demonstrasi teknik penggantian dan pemasangan cermin hadapan mengguna bahan pelekat terkemukanya pada Ativa tersebut.
Menarik sekali, cermin hadapan Ativa tersebut ditukar hanya 1 jam sebelum ia menjalani ujian pelanggarannya yang menepati piawaian FMVSS 212 daripada Amerika Syarikat – Ativa tersebut diuji dalam pelanggaran hadapan pada kelajuan 48km/j.
Proses ini direka untuk menguji ketahanan bahan pelekat yang dihasil oleh Sika, khususnya kebolehannya untuk mengekalkan posisi cermin hadapan yang dipasang apabila berlakunya pelanggaran hadapan.
Untuk pengetahuan anda, cermin hadapan mana-mana kenderaan menyumbang sehingga 40% daripada tahap integriti struktur kenderaan tersebut dalam situasi pelanggaran hadapan.
Dalam situasi kenderaan terbalik (roll-over), semua cermin yang dilengkapkan meyumbang sehingga 60% daripada tahap integriti struktur kenderaan. Dengan itu, pemasangan komponen ini, serta jenis pelekat yang diguna, amatlah penting.
Menarik sekali, dalam ujian khas ini, Sika Malaysia berjaya menunjuk bahawa cermin hadapan pada unit Ativa yang dilanggar itu tidak tertanggal atau terkeluar dari posisi asalnya, walaupun proses penggantian dan pemasangannya dilakukan sejam sebelum.
Bila dilihat secara dekat lagi, cermin hadapan Ativa yang diuji mengalami keretakan dari bucu bawah sebelah kiri (penumpang), tetapi garisan retakan tersebut tidak melebihi separuh ketinggian keseluruhan cermin hadapan tersebut.
Dari situ, kami juga boleh sahkan cermin hadapa tersebut berjaya menjalani peranan sekundernya iaitu penyerapan tenaga kinetik daripada impak pelanggaran hadapan yang Ativa tersebut alami.
Dengan pengekalan posisi cermin hadapan serta struktur badan asal Ativa tersebut, semua sistem keselamatan lain yang dilengkapi, khususnya sistem beg udara dan tali pinggang keledar, juga mampu beroperasi secara optimum.
Dengan hasil keputusan ujian ini, Ketua untuk Automotif dan Industri Sika bagi wilayah Asia Tenggara Yves Meier sekali lagi menegaskan pelekat cermin depan Sika cuma memerlukan satu jam sebelum ia melekat kuat.
“Kita tak perlu tunggu dua atau tiga jam sebelum boleh memandu kenderaan kita selepas cermin depan dipasang,” ujar beliau lagi semasa sidang media yang diadakan selepas ujian pelanggaran khas ini selesai.
Bahan pelekat Sika digunakan banyak syarikat automotif dari Jepun dan juga China, tetapi ia tidak dijual terus ke pengguna. Sika menjadi pembekal kepada syarikat-syarikat automotif dan bengkel-bengkel kenderaan.
Selain itu, Sika juga telah mulakan kempen cabutan bertuah bulanan bermula dari 15 September hingga 31 Disember di mana pelanggan terpilih yang menukar cermin depan mereka di bengkel-bengkel yang diiktiraf Sika boleh menang kad petrol bernilai RM100.
Maklumat lanjut tentang kempen tersebut, serta senarai bengkel-bengkel diiktiraf oelh Sika, kini tersedia melalui laman web rasmi jenama tersebut.









