Kembali ke laman Tekan Habis
SUKAN PERMOTORAN

Selepas BBC, ESPN Pula Laporkan Malaysia Bakal Menjadi Hos Formula 1 Bagi Pihak Bahrain

27 Jul 2026
Sumber gambar: Sepang International Circuit
Sumber gambar: Sepang International Circuit

Selepas satu laporan dari BBC, laman sukan antarabangsa popular ESPN pula memetik sumber bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 kepada Bahrain Grand Prix pada bulan Oktober ini.

Menurut artikel oleh Nate Saunders, Bahrain berhasrat menjadualkan semula acara yang telah ditunda itu kepada 4 Oktober tahun ini, tetapi situasi di rantau itu menjadikan pilihan itu mustahil.

Akan tetapi, Bahrain masih lagi berhasrat untuk membayar kos penganjuran perlumbaan itu, tetapi akan dipersembahkan sebagai Bahrain Grand Prix by Malaysia. Petikan itu tidak mengesahkan sama ada ini adalah nama rasmi perlumbaan yang sebenar.

Menurut sumber kepada ESPN lagi, terdapat pelbagai perbincangan sepanjang hari-hari yang lalu mengenai pembiayaan perlumbaan ini, termasuk siapa yang membayar dan apakah nama rasmi bagi acara ini.

Peperangan di Iran telah menyukarkan penganjuran perlumbaan di Bahrain, Arab Saudi, Qatar dan Abu Dhabi. Perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi telah pun ditunda, dan sepatutnya dianjurkan pada bulan April. Kini, perlumbaan di Qatar dan Abu Dhabi juga mengalami ketidakpastian untuk dianjurkan.

Perlumbaan F1 di Sepang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017. Perjanjian komersil di antara 11 pasukan dan penyiar TV di seluruh dunia memerlukan sekurang-kurangnya 22 acara perlumbaan dianjurkan sepanjang musim F1 tahun ini, menjadikan tuan rumah alternatif satu pilihan bagi memenuhi keperluan ini.

Selain dari Sepang, litar Imola dan Portimao, masing-masing di Itali dan Portugal juga dilaporkan menjadi tuan rumah alternatif bagi mencukupkan bilangan perlumbaan F1 musim ini. 

Pengumuman mengenai keputusan menganjurkan F1 di Malaysia dijangka hari ini (Ahad).

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis