PRODUK

ROYAL ENFIEND GUERRILLA 450 APEX TIBA – DARI RM28,000

16 Oct 2026
ROYAL ENFIEND GUERRILLA 450 APEX TIBA –  DARI RM28,000
1 / 36

Royal Enfield Malaysia (Didi Group) telah kembangkan barisan modelnya dengan satu tambahan baharu iaitu Guerrilla 450 Apex. Varian baharu model ‘roadstrer’ modern retro ini tampil dengan rekaan lebih sporty serta beberapa penambahbaikan lain.

Menariknya, walaupun menerima beberapa penambahbaikan, varian Guerrilla 450 Apex baharu ini ditawarkan dengan harga asas bermula dari RM28,000 (tanpa insurans dan kos pendaftaran) – harga sama seperti varian asas Guerrilla 450.

Berasaskan Guerrilla 450 sedia ada, perubahan varian Apex baharu ini ditujukan untuk meningkatkan pengalaman tunggangan.  Ini merangkumi perubahan pada kedudukan tunggangan, penggunaan tayar baharu serta kemasan luaran yang lebih agresif.

Salah satu perubahan penting di sini adalah handlebar aluminium baharu. Selain direndahkan, ia juga diposisikan semula untuk memupuk posisi tunggangan lebih agresif serta meningkatkan rasa kawalan bahagian hadapan motosikal dalam selekoh.

Perubahan ini turut disokong dengan  tayar Vredestein Centauro ST bersaiz 17 inci yang direka khusus untuk penggunaan jalan raya dengan penekanan terhadap tahap cengkaman, terutamanya ketika melalui permukaan basah atau tahap geseran rendah.

Dari segi estetik, varian Guerrilla 450 Apex ini diberi beberapa komponen tambahan seperti front cowl yang dikemaskan dalam warna badan, hiasan pelekat roda aloi,, dan hiasan penutup tempat duduk pembonceng yang boleh ditanggalkan.

Selain perubahan ergonomik dan estetik ini, varian Guerrilla 450 Apex ini lihat spesifikasi mekanikalnya tidak berubah dari versi standard. Dengan itu, ia tetap dipacu enjin 452cc DOHC satu-silinder dengan penyejuan cecair yang menjana 40PS dan 40NM.

Enjin tersebut turut dipadankan dengan sistem sutikan bahan api (EFI) bersama sistem Ride-By-Wire (RBW) yang memberi pilihan mod tunggangan Street atau Sport, serta transmisi 6-kelajuan yang disokong sistem slip & assist clutch.

Tiada perubahan pada komponen casis utama juga. Sorotan utama merangkumi fork hadapan teleskopik Showa 43MM, monoshock belakang jenis linkage, brek cakera depan dan belakang yang disokong sistem ABS dwi-saluran, serta tangki bahan api 11-liter.

Selain itu, Guerrilla 450 Apex baharu ini daripada Royal Enfield kekal dengan kelengkapan utama lain seperti pencahayaan LED-penuh, paparan meter TFT digital bentuk bulat 4-inci interaktif, serta port pengecas peranti USB-C.

Akhir sekali, varian Apex baharu ini tersedia dalam tiga pilihan warna menyerlah – merah, hijau dan hitam. Tersedia juga adalah katalog aksesori luas untuk bakal pemilik, selain jaminan waranti 3-tahun tanpa had batuan.

Kembali ke lamanTekan Habis