ROBOVAN TANPA PEMANDU MULA UJIAN DI JALANRAYA AWAM SELAMA 6 BULAN
RoboVan autonomi Tahap 4 (L4) tanpa pemandu dilancarkan oleh Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd (ALS) sempena TXA 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Kenderaan autonomi ini, yang pernah ditampilkan sebagai kenderaan penghantaran masa depan oleh Pos Malaysia bakal menjalani percubaan di jalan raya awam selama 6 bulan di laluan ujian Malaysia Autonomous Vehicle (MyAV) sepanjang 22 kilometer di Cyberjaya, melibatkan keadaan trafik bercampur.
Menurut ALS, tempoh percubaan itu memberikan peluang bagi syarikat itu merekodkan prestasi pemanduan autonomi, tempoh operasi, jarak perjalanan, jumlah perjalanan, intervensi sistem dan petunjuk prestasi utama yang lain.
Dalam kawasan operasi yang diluluskan, RoboVan melaksanakan keseluruhan tugas pemanduan tanpa pemandu atau penumpang di dalam kenderaan, dengan pemantauan jarak jauh melalui Pusat Operasi Jarak Jauh (ROC) khusus, yang telah dilancarkan pada Julai 2026 yang lalu bersama Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Laluan ujian itu merangkumi kawasan perniagaan, institusi pendidikan, stesen MRT, pusat komersial, persimpangan dan lintasan pejalan kaki.
Kenderaan autonomi ini menggunakan teknologi yang dibangunkan Zelostech, yang mana ALS menerajui usaha penyetempatan teknologi dan operasi tempatan.
Sebagai syarikat tempatan Malaysia, kami berbangga dapat membawa kenderaan autonomi sepenuhnya ke jalan raya awam negara. Bagi kami, ini lebih daripada sekadar nombor pendaftaran. Ia adalah langkah untuk menjadikan teknologi autonomi satu realiti di Malaysia, membuktikan kemampuan syarikat tempatan dan membina asas bagi masa depan logistik autonomi di negara ini serta rantau ini”, kata Pengarah Urusan ALS, Alan Chong
Ujian itu mendapat kelulusan di bawah rangka kerja kenderaan autonomi, dengan penglibatan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Kementerian Digital dan Futurise.
Sepanjang tempoh ujian, operasi akan mengikut parameter yang ditetapkan dan data operasi dikemukakan secara berstruktur.
Pelancaran itu disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.


