PUSPAKOM SOKONG JPJ BANTERAS TAKTIK SEWA TAYAR LULUS PEMERIKSAAN
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Puspakom, syarikat tersebut telah menyatakan sokongannya terhadap tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung sindiket sewa tayar untuk kenderaan perdagangan melepasi pemeriksaan berkala.
Baru-baru ini, pihak JPJ Pahang dilaporkan telah berbuat demikian di Gebeng, Kuantan, setelah kegiatan tersebut dibongkar melalui Ops Bengkel yang dijalankan bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Siasatan JPJ mendapati pihak-pihak tertentu dipercayai menawarkan tayar yang memenuhi piawaian pemeriksaan pada kadar sewaan antara RM100 hingga RM150 bagi setiap kenderaan.
Melalui skim berkenaan, tayar yang berada dalam keadaan baik dipasang sementara pada kenderaan ketika pemeriksaan dijalankan sebelum ditanggalkan semula selepas kenderaan memperoleh kelulusan. Kenderaan terbabit kemudian kembali beroperasi menggunakan tayar asal yang haus dan tidak menepati piawaian keselamatan.
“Apabila tayar ditukar selepas pemeriksaan, sijil yang dikeluarkan tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar kenderaan di jalan raya. Situasi ini meletakkan pemandu dan pengguna jalan raya lain dalam risiko,” ulas Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.
Beliau turut tambah pemeriksa Puspakom menjalankan pemeriksaan mengikut prosedur ditetapkan, tetapi pihaknya tidak dapat mengawal keadaan kenderaan selepas meninggalkan pusat pemeriksaan.
Puspakom turut menegaskan semua pemeriksaan yang dilaksanakan mengikut dasar piawaian yang ditetapkan JPJ dan digunakan secara seragam di setiap pusat pemeriksaan, tanpa sebarang pengecualian.
Syarikat itu juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap bengkel, pembekal aksesori atau ejen perkhidmatan pihak ketiga sebagai wakil Puspakom yang menentukan piawaian pemeriksaan.
Dengan itu, Pupsakom juga gesa supaya pemantauan dan penguatkuasaan harus diperluaskan kepada pihak yang membantu memintas prosedur pemeriksaan, selain pengendali kenderaan yang terbabit.
Menurut syarikat itu, kenderaan yang menggunakan tayar sewa semata-mata untuk lulus pemeriksaan berkemungkinan gagal dalam pemeriksaan berikutnya selepas enam bulan sekiranya ia kembali dengan tayar asal yang tidak memenuhi piawaian.
“Kelulusan pemeriksaan tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar kenderaan sekiranya komponen keselamatan diganti sementara hanya untuk melepasi ujian,” tambah Puspakom lagi dalam kenyataan rasminya.
Oleh itu, pemilik kenderaan perdagangan dan pengendali flit diseru untuk memastikan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara berterusan, bukannya hanya menjelang tarikh pemeriksaan berkala.
Puspakom juga menggalakkan pengendali dan pemandu yang berdepan tekanan untuk menyertai kegiatan sedemikian supaya membuat laporan melalui saluran rasmi JPJ.


