UMUM

PUSPAKOM RASMI BUKA PUSAT PEMERIKSAAN BAHARU & TERBESAR DI KAJANG

06 Oct 2026
PUSPAKOM RASMI BUKA PUSAT PEMERIKSAAN BAHARU & TERBESAR DI KAJANG
1 / 8

Syarikat pemeriksaan kenderaan Puspakom telah umumkan satu perkembangan Baharu bagi rangkaiannya. Awal hari ni, syarikat tersebut telah rasmi umumkan pembukaan sebuah pusat pemeriksaan baharu yang terletak di Kajang, Selangor.

Cawangan Puspakom Kajang baharu ini terletak di Lot 1A & 1B, Jalan P4/13, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor. Ia kini beroperasi dari 8AM hingga 5.30PM dari Isnin hingga Jumaat. Pelanggan boleh membuat tempahan pemeriksaan kenderaan melalui platform tempahan dalam talian GiCheck.

Menarik sekali, cawangan terbaru ini juga kini berdiri sebagai pusat pemeriksaan terbesar sekali dalam rangkainannya dengan kapasiti untuk memeriksa sebanyak 800 kenderaan sehari. Puspakom juga tambah pusat baharu ini dibuka susulan penutupan cawangannya di Pandan Mewah pada akhir bulan September lalu.

Salah satu sorotan utama cawangan Puspakom Kajang baharu ini ialah 10 lorong pemeriksaan yang dibahagikan sama rata untuk kenderaan perdagangan dan kenderaan persendirian, dan ini terletak di lokasi strategik untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dari Kajang, Semenyih, Beranang, Bangi dan kawasan sekitarnya.

Cawangan baharu di Kajang ini telah mula operasi mengikut fasa. Bermula dengan fasa pertama, ini melibatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan persendirian yang telah pun bermula awal minggu ini dari 5 Okt.

Ini akan diikuti fasa kedua yang melibatkan pemeriksaan berkala dan pemeriksaan ulangan bagi kenderaan perdagangan ringan bermula 28 Okt.  Fasa ketiga pula bakal mula dari 23 Nov, dan ini akan akan melihat cawangan tersebut menyediakan khidmat pemeriksaan awal dan pemeriksaan ulangan awal.

Setelah semua fasa operasi dimulakan, pusat ini akan sedia untuk menawar rangkaian perkhidmatan penuh yangmerangkumi pemeriksaan awal dan pemeriksaan berkala bagi kenderaan ringan, pemeriksaan khas, pemeriksaan pertukaran milikan (MV15), pemeriksaan sewa beli (B7) serta pemeriksaan kenderaan secara sukarela (B2).

“Pelaksanaan awal akan memberi tumpuan kepada pengumpulan data dan peningkatan keupayaan, sementara kami terus memperkukuh dan mematangkan teknologi pemeriksaan AI kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman.

Tambah Mahmood lagi, pusat baharu di Kajang ini juga bakal menjadi platform utama bagi inisiatif teknologi Puspakom pada masa hadapan, dengan keupayaan pemeriksaan dibantu AI yang meliputi pemeriksaan bahagian bawah dan atas kenderaan, yang dijadual bakal dilaksanakan mulai bulan Nov 2026.

Kembali ke lamanTekan Habis