Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

PUSPAKOM ANJUR GICHECK AUTO WEEKEND DI AEON BUKIT TINGGI 5-6 SEPT

24 Aug 2026
PUSPAKOM ANJUR GICHECK AUTO WEEKEND DI AEON BUKIT TINGGI 5-6 SEPT
1 / 3

Puspakom telah umum ia akan menganjurkan acara GiCheck Auto Weekend 2026. Acara ini akan berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 September ini di AEON Bukit Tinggi, Klang, dan ia bertemakan semangat Merdeka.

GiCheck Auto Weekend akan berlangsung di kawasan letak kereta terbuka berhampiran pusat beli-belah berkenaan dan stesen LRT Bandar Bukit Tinggi. Ia terbuka kepada pengunjung dari jam 10AM hingga 10PM untuk dua-dua hari, manakala aktiviti pemeriksaan kenderaan yang disediakan akan beroperasi sehingga jam 6PM.

Melalui karnival ini, Puspakom akan menggabungkan pendidikan berkaitan keselamatan kenderaan, kesedaran mengenai kelayakan berada atas jalan raya serta pelbagai aktiviti mesra keluarga. Pada masa sama, acara ini turut menjadi platform untuk Puspakom berinteraksi dengan orang ramai dan pelbagai pihak berkepentingan secara lebih dekat.

Puspakom turut tambah penganjuran acara ini bertujuan membantu orang ramai mengenal pasti potensi masalah pada kenderaan lebih awal, selain memahami kepentingan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan layak digunakan di jalan raya.

Untuk menyokong usaha ini, beberapa demonstrasi secara langsung, aktiviti pendidikan serta pengalaman automotif yang lebih praktikal, akan dianjurkan juga. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pasaran kereta terpakai serta mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai inovasi dalam industri automotif.

Bagi pemilik kenderaan yang memenuhi syarat, pemeriksaan turut boleh dilakukan di lokasi menerusi perkhidmatan Mobile Truck Service (MTS) Puspakom. Perkhidmatan ini membolehkan pemeriksaan kenderaan dijalankan menggunakan trak mudah alih yang disediakan sepanjang acara.

Pada masa yang sama, Puspakom juga mengumumkan slot Tempahan Akses Awal GiCheck (G.E.A.R) telah diperluaskan ke 26 cawangannya di seluruh negara bulan ini.

 Termasuk di sini adalah cawangan Puspakom di Padang Jawa, Cheras, Pandan Mewah, Banting, Bangi, Seremban, Alor Gajah, Muar, Kluang, Johor Bahru dan Senai. Ia menyertai cawangan lain yang telah memulakan G.E.A.R iaitu Wangsa Maju, Glenmarie dan Batu Caves.

Susulan itu, pelaksanaan G.E.A.R juga akan dikembangkan ke cawangan di wilayah utara, pantai timur dan Malaysia Timur. Cawangan terbabit ialah Alor Setar, Sungai Petani, Teluk Kumbar, Ipoh, Mak Mandin, Gopeng, Taiping, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kota Samarahan.

Dilancarkan bulan lalu, G.E.A.R adalah perkhidmatan premium yang membolehkan pemilik kenderaan persendirian mendapatkan slot pemeriksaan seawal hari. Kadar pengenalan RM150 ditetapkan bagi setiap kenderaan, dengan pelanggan akan menerima pengesahan slot janji temu pemeriksaan prioriti menerusi platform GiCheck.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis