Syarikat pengeluar kenderaan nasional Proton telah menyiarkan angka jualan bulanan terkini, dan terdapat beberapa sorotan positif.
Pertama sekali, Proton telah berjaya menyerah sebanyak 18,442 unit kenderaan kepada pelanggan pada bulan lepas. Angka tersebut menandakan peningkatan sebanyak 14.9% berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini pula, jumlah jualan kesuluruhan Proton setakat ini telah mencecah 118,788 unit, dan ini menanda peningkatan 38.7% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Dengan itu, Proton juga menganggarkan pegangan pasaran sebanyak 25.8% berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV). Proton juga menekankan bahawa prestasi jualannya pada bulan lepas merupakan bulan kedua terbaiknya setakat tahun ini.
Menarik sekali, Proton juga mendakwa peningkatan jualan tersebut turut dipacu prestasi eksport yang memberangsangkan bulan lalu di mana ia telah mengeksport sebanyak 1,398 unit. Ini adalah jumlah eksport tertinggi Proton sejak Mac 2013.
Seperti biasa, model Proton Saga kekal sebagai pemacu utama prestasi jualan syarikat yang berpangkalan di Tanjong Malim, Perak, ini. Bulan lalu, sebanyak 7,814 unit model tersebut diserahkan ke pelanggan, manakala jumlah jualan keseluruhan setakat tahun ini telah meningkat ke 52,189 unit.
Model Proton S70 pula berjaya mencatat sebanyak 2,857 unit jualan menjelang bulan lepas, manakala tawaran SUV segmen-B X50 pula berjaya melihat 2,291 unit diserahkan pada pembeli dalam tempoh yang sama untuk kekal sebagai model SUV paling laris dalam pasaran Malaysia.
Beralih ke operasi kenderaan elektrik (EV) bawah PRO-NET pula, barisan sub-jenama Proton eMas telah mencatatkan prestasi jualan bulanan terbaik sejak diperkenalkan. Sebanyak 3,888 unit eMas 5, eMas 7 dan eMas 7 PHEV telah dijual bulan lepas, sekali gus melihat jumlah jualan terkumpul tahun ini meningkat kepada 21,808 unit.
Proton juga memaklumkan eMas 5 kini merupakan EV paling laris di Malaysia dengan jumlah jualan terkumpul sebanyak 13,196 unit. Model eMas 7 PHEV pula kini mendahului carta jualan segmennya dengan 4,946 unit terjual bulan lepas, manakala kembar elektrik penunhya – eMas 7 – merekodkan jualan terkumpul sebanyak 3,666 unit.




