PRODUK

PROTON S70 LITE & PRIME BUKA UNTUK TEMPAHAN – VARIAN MAMPU MILIK BAWAH RM60,000!

07 Sep 2026
PROTON S70 LITE & PRIME BUKA UNTUK TEMPAHAN – VARIAN MAMPU MILIK BAWAH RM60,000!
1 / 7

Barisan Model Proton S70 telah dikembangkan dengan pengumuman dua varian tambahan baharu iaitu Lite dan Prime. Dua-dua kini dibuka untuk tempahan melalui pengedar rasmi seluruh negara kata Proton melalui siaran akhbar rasminya.

Menarik sekali, Proton juga mengesahkan dua-dua varian ini akan ditawarkan dengan harga anggaran lebih mampu milik di bawah RM60,000. Harga rasmi dua-dua varian ini akan diumumkan semasa pelancaran rasminya tidak lama lagi.

Sebagai rujukan, barisan Proton S70 sedia ada yang merangkumi varian Executive, Premium dan Flagship ditawarkan pada RM73,800, RM79,800 dan RM89,800 masing-masing, atau RM68,800, RM74,800 dan RM84,800 dengan promosi khas.

Salah satu faktor utama yang membolehkan harga mampu milik ini adalah tren kuasa yang dilengkapi. Seperti dijangkakan, dua-dua varian ini mengguna nadi 1.5-liter 4-silinder petrol versi tanpa turbo bersama padanan transmisi automatik CVT.

Walaupun mirip dengan apa yang digunakan dalam Proton Saga varian 1.5 Premium terkini, S70 Lite dan Prime tidak mengguna transmisi CVT dengan sistem start-clutch buatan Punch. Disebaliknya, S70 prime dan Lite akan mengguna transmisi CVT berlainan yang dilengkapi torque converter.

Selain itu, Proton tidak mendedahkan angka-angka output ataupun prestasi bagi setup tren kuasa bagi varian-varian baharu S70 ini. Sebagai rujukan perbandingan, enjin i-GT 1.5-liter 4-silinder yang memacu semua varian Proton Saga MC3 terkini menjana 120PS dan 150Nm.

Selain itu, Proton mendakwa varian Lite dan Prime baharu ini akan tampil dengan 10 ciri yang memposisikan sedan ini sebagai ketua segmen. Ini termasuk ruang kabin paling luas, hiasan panel meter sentuhan lembut, brek parkir elektronik, pengaktifan enjin kawalan jauh, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Kelengkapan utama lain juga termasuk enam beg udara, kamera undur, ‘Rear Side Radar System’, balutan tempat duduk kulit tiruan, dan banyak lagi. Melalui imej-imej yang dibekalkan, kami juga boleh lihat kelengkapan estetik seperti rim 17-inci dan hiasan gril berwarna hitam.

Maklumat lanjut bakal didedahkan semasa pelancaran rasminya yang, buat masa kini, belum diumumkan lagi. Seperti disebut tadi, tempahan sudah buka dan kami pasti pembeli terawal bakal diberi beberapa ganjaran tambahan sekali.

Kembali ke lamanTekan Habis