INDUSTRI

PROTON CATAT JUALAN BULANAN DOMESTIK TERTINGGI DALAM SEJARAH – 22,632 UNIT

04 Sep 2026
PROTON CATAT JUALAN BULANAN DOMESTIK TERTINGGI DALAM SEJARAH – 22,632 UNIT
1 / 6

Proton telah mencatat rekod jualan domestik bulanan tertinggi dalam sejarah pada Ogos lalu di mana sejumlah 22,632 unit telah diserah pada pelanggan. Ini juga adalah prestasi bulanan keseluruhan terbaik pengeluar automotif nasional itu sejak Januari 2010.

Angka jualan tersebut menandakan peningkatan 22.7% berbanding bulan Julai, manakala jumlah jualan terkumpul bagi lapan bulan pertama 2026 kina sudah mencecah 141,421 unit dan menandakan peningkatan 40.2% tahun ke tahun.

Berdasarkan anggaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), Proton jangka ia telah mencapai bahagian pasaran sebanyak 27.9% pada Ogos, sekali gus meningkatkan bahagian pasaran bagi tempoh tahun hingga kini (YTD) kepada 25.6%.

Menurut Proton, prestasi ini didorong oleh permintaan kukuh terhadap barisan produk enjin pembakaran dalaman (ICE), serta prestasi Proton e.MAS yang sekali lagi mencatat rekod bulanan serta peningkatan jualan eksport.

Seperti biasa, model Saga memimpin angka-angka rekod baharu ini. Sebanyak 7,347 unit dijual pada Ogos, manakala jumlah tahunannya setakat ini hampir mencecah 60,000 unit, dan berada pada landasan untuk melepasi jualan tahunan 80,000 unit.

Tawaran sedan S70 pula mencatat jumlah jualan bulanan tertinggi pada Ogos dengan 3,235 unit terserah pada pembeli. Menarik sekali, jumlah berkenaan turut mengatasi keseluruhan jualan Proton S70 versi sebelum ini bagi tahun 2025.

Model SUV X50 pula melihat 2,274 unit dijual pada Ogos dan masih kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia. Proton X90 pula kekal sebagai peneraju SUV tujuh tempat duduk segmen-D dengan 471 unit diserahkan kepada pelanggan pada Ogos.

Bagi barisan kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton e.MAS, e.MAS 5 menyumbang sebahagian besar jualan dengan 4,818 unit pada Ogos. Proton e.MAS 7 pula merekodkan 613 unit, manakala Proton e.MAS 7 PHEV lihat sebanyak 616 unit terjual.

Untuk eksport pula, jualan Ogos mencapai 2,477 unit bagi model Proton dan Geely iaitu jumlah eksport bulanan tertinggi sejak Januari 2011. Jumlah eksport tahunan setakat ini pula sudah mencecah 6,059 unit unutk mengatasi jumlah keseluruhan 6,000 unit yang dieksport sepanjang 2025.

Kembali ke lamanTekan Habis