INDUSTRI

PROTON CAPAI EKSPORT 10,000 UNIT SETAKAT OKTOBER 2026

18 Nov 2026
PROTON CAPAI EKSPORT 10,000 UNIT SETAKAT OKTOBER 2026
1 / 5

PROTON telah melepasi jumlah eksport sebanyak 10,000 unit bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2026, dan menyasarkan peningkatan dua kali ganda jumlah ini berbanding tahun sebelumnya, menurut siaran media yang dikeluarkan hari ini.

Syarikat itu juga berkata kilangnya di Tanjong Malim telah mengeluarkan sebanyak 23,006 unit pada bulan Oktober, pencapaian bulanan tertinggi syarikat itu dalam tempoh 24 tahun.

 “Tahun 2026 merupakan tahun yang menyaksikan pelbagai pencapaian penting bagi PROTON dalam pelbagai aspek, didorong oleh kejayaan pelancaran model-model baharu kami yang telah meningkatkan permintaan di pasaran domestik dan antarabangsa. Hasilnya, kami berjaya mencatatkan pertumbuhan ketara dalam jumlah eksport, manakala barisan pengeluaran kami terus berusaha untuk mencapai jumlah pengeluaran yang lebih tinggi setiap bulan”, kata TImbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa semasa majlis penghargaan khas pada 12 November bersama warga kerja dan pihak pengurusan syarikat itu.

Tekan Habis pernah melaporkan sebelum ini peningkatan eksport ini didorong pemasangan model-model Geely yang merangkumi model dengan pemanduan sebelah kanan (RHD) dan juga pemanduan sebelah kiri (LHD).

Antara model yang sedang dipasang tersebut termasuk Geely Coolray – kembar pada Proton X50 – versi LHD dan Geely Okavango facelift – kembar Proton X90 – versi LHD. 

Selain itu, model lain seperti Geely Emgrand (kembar Proton S70) dan model elektrik seperti Geely EX2 (kembar Proton e.MAS 5) turut dilihat dibawa keluar dari Tanjong Malim menuju ke pelabuhan untuk dieksport.

Bagi model Geely Coolray, versi RHD yang dikeluarkan dari Tanjong Malim juga telah dieksport ke Indonesia.

Kembali ke lamanTekan Habis