PRO-NET DAN TVETMARA ANJUR PERTANDINGAN KEMAHIRAN BAGI JURUTEKNIK DAN PENASIHAT SERVIS
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) dan TVETMARA Masjid Tanah menganjurkan e.MAS Electrified Excellence Aftersales Awards 2026, satu kejohanan di antara juruteknik dan penasihat servis dari 49 pusat Proton e.MAS di seluruh negara.
Peserta pertandingan itu melalui beberapa siri penilaian secara teori dan praktikal bagi syarikat itu melihat peluang penambahbaikan, memperhalusi program pensijilan di masa hadapan, dan membentuk piawaian servis yang lebih konsisten di seluruh negara.
“Pertandingan ini adalah satu peluang untuk mengenali warga kerja kami, dan menguji bagaimana kemahiran mereka diterap ke dalam situasi perkhidmatan harian. Apa yang kami pelajari dari penilaian ini membantu kami menambahbaik latihan di seluruh rangkaian kami”, kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
Menurut syarikat itu, pertandingan ini juga mengiringi pelaburan syarikat itu dalam pembangunan bakat, termasuk 37 juruteknik yang mempunyai pensijilan Tahap 2, dari 25 pusat servis.
Sepanjang pertandingan yang bermula dengan dua pusingan secara dalam talian, 20 finalis melalui penilaian yang mencerminkan operasi harian yang sebenar. Juruteknik diuji dengan kebolehan melakukan pemeriksaan sebelum penghantaran (PDI) serta penyelesaian masalah voltan tinggi dan penggunaan peralatan diagnostik elektronik.
Tinjauan Tekan Habis di peringkat akhir pertandingan yang berlangsung di pusat edaran Proton e.MAS USJ melihat juruteknik melalui pelbagai ujian kemahiran dalam menyelenggara kenderaan elektrik dan PHEV. Penasihat Servis pula melalui simulasi berhadapan “pelanggan” dan dinilai melalui kebolehan berinteraksi dengan pelanggan menggunakan kaedah penyelesaian masalah yang berlandaskan standard yang ditentukan PRO-NET.
Juara kategori Juruteknik diraih oleh Mohamad Nabiel Suhairudin dari JM Otomobil Kota Bharu, manakala juara Penasihat Servis dimenangi Muhammad Hafiz Hassanudin dari Mayang Holding, Muar.
4 anugerah khas turut dinobatkan bagi Pakar Waranti, Pakar Alatganti, Kecemerlangan Kepimpinan Lepas Jualan, dan Juruteknik Wanita Cemerlang yang dimenangi oleh Muhammad Farhan, Muhammad Afifi Shahrudin, Tan Teck Wei dan Nurul Izzah.
PRO-NET kini mempunyai 60 pusat di seluruh negara, termasuk 46 pusat servis bertauliah dan 10 pusat “Body & Paint”. Zhang juga berkata syarikat itu berhasrat mengembangkan jumlah itu kepada 70 pusat jualan, 57 pusat servis dan 14 Body & Paint menjelang akhir tahun 2026.











