INDUSTRI

PRO-NET ANJUR PERTANDINGAN REKABENTUK PROTON e.MAS GUNAKAN AI

22 Oct 2026
PRO-NET ANJUR PERTANDINGAN REKABENTUK PROTON e.MAS GUNAKAN AI
1 / 2

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) membuka jemputan kepada orang ramai bagi menyertai pertandingan berasaskan kecerdasan buatan (AI) peringkat kebangsaan bagi mereka bentuk Proton e.MAS impian masing-masing. 

Program e.MAS Impianku yang berlangsung dari 19 Oktober hingga 30 November 2026 merupakan platform untuk semua berkongsi idea mengenai rekabentuk, ciri dan teknologi yang ingin dilihat pada kenderaan elektik masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata setiap rekaan membantu syarikat itu memahami ciri-ciri, teknologi dan pengalaman yang diingini rakyat Malaysia.

"Menerusi e.MAS Impianku, kami ingin memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk membayangkan EV impian mereka dengan cara yang menyeronokkan dan kreatif, sekali gus merealisasikan idea tersebut menggunakan teknologi AI. Sama ada melalui reka bentuk yang berani, ciri-ciri inovatif atau olahan idea yang unik, kami teruja untuk melihat bagaimana rakyat Malaysia membayangkan Proton e.MAS masa depan mengikut kreativiti dan cita rasa masing-masing," katanya.

Sesiapa yang ingin menyertai itu boleh menggunakan sebarang platform AI bagi menjana imej rekabentuk yang diingini. Bagi memudahkan mereka yang tidak biasa menggunakan kecerdasan buatan untuk menjana imej, satu contoh arahan diberikan oleh PRO-NET bagi memulakan penjanaan imej tersebut di laman pertandingan.

Pertandingan ini terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas yang menetap di Malaysia. Bagi yang ingin menyertai ataupun memerlukan maklumat lanjut, boleh melayari laman pertandingan di protonemasimpianku.com

Kembali ke lamanTekan Habis