Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

PENILAIAN ADAS IVASA DILANCARKAN - TUMPU KEPADA SENARIO TEMPATAN, MOTOSIKAL DAN PENGECAMAN SUARA

29 Jul 2026
PENILAIAN ADAS IVASA DILANCARKAN - TUMPU KEPADA SENARIO TEMPATAN, MOTOSIKAL DAN PENGECAMAN SUARA
1 / 7

ASEAN NCAP telah melancarkan Penilaian Keselamatan Lanjutan Kenderaan Pintar (IVASA), satu penilaian bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai ciri-ciri ADAS Tahap 2 dan 2+, yang dirangkum dengan kerjasama China Automotive Engineering Research Institute (CAERI), semalam.

IVASA (Intelligent Vehicle Advanced Safety Assessment) merupakan satu penilaian yang dirangkum bagi menilai prestasi sebenar, keselamatan dan kebolehpercayaan sistem pintar ADAS, khusus bagi kenderaan di dalam pasaran ASEAN.

Memandangkan rantau ASEAN kini melihat peningkatan penggunaan kenderaan yang mempunyai sistem pemanduan pintar Tahap 2 dan 2+, ianya juga datang dengan cabaran unik, dari segi keadaan lalu lintas, jenis-jenis kenderaan, serta kepadatan pengguna jalanraya yang terdedah kepada risiko (VRU), termasuk motosikal, basikal dan pejalan kaki. Ini juga termasuk cara pemanduan yang berbeza dengan persekitaran trafik di negara-negara lain.

Protokol penilaian IVASA melihat kepada 3 aspek:

Tidak seperti ASEAN NCAP, IVASA tidak memberikan penarafan bintang - tetapi meletakkan penilaian prestasi bagi setiap aspek umum, dengan skala Good (G), Average (A), Moderate (M), Weak (W), dan Poor (P).

Salah satu aspek yang dikhususkan kepada rantau ini adalah beberapa penilaian yang bertumpukan kepada interaksi dengan motosikal, disebabkan penggunaan mod kenderaan ini yang lebih tinggi di Asia Tenggara. Di antara ujian yang dikendalikan adalah ujian respon kenderaan kepada motosikal yang membawa pembonceng kanak-kanak di dalam beberapa senario berbeza seperti hujan, kadar pergerakan dan susunan jalan yang berbeza, serta situasi siang atau malam.

IVASA juga memberi penekanan kepada kebolehan pengecaman suara (Voice recognition). Apabila ditanya oleh Tekan Habis, ASEAN NCAP mengatakan bahawa penggunaan skrin semasa memandu perlu beralih kepada penggunaan arahan suara, dan kebolehan mengecam suara di dalam bahasa-bahasa di rantau ini perlu dinilai bagi memastikan pemanduan yang lebih selamat. 

Ketua Teknikal ASEAN NCAP, Ts. Yahaya Ahmad berkata, “Bagi memastikan kereta benar-benar bersedia untuk pasaran Asia Tenggara, kita perlu menilai teknologi pintar di dalam konteks realiti jalan tempatan. IVASA ditubuhkan untuk merapatkan jurang ini dengan mewujudkan protokol penilaian khusus yang melindungi pemandu, di samping menyokong pelaksanaan mobiliti generasi akan datang dengan selamat.”

Selepas pelancaran ini, pengeluar kenderaan diberi tempoh sebulan untuk menyatakan sebarang cadangan bagi melengkapkan penilaian IVASA, dan ujian dijangka bermula pada tahun ini. Kami difahamkan buat masa ini, penilaian dibuat secara sukarela oleh pengeluar, dan hanya kenderaan yang mempunyai  ADAS Tahap 2 dan 2+ layak untuk melalui penilaian IVASA.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis