INDUSTRI

OMODA | JAECOO MALAYSIA ANJUR PERTANDINGAN TEKNIKAL PERTAMA

31 Oct 2026
OMODA | JAECOO MALAYSIA ANJUR PERTANDINGAN TEKNIKAL PERTAMA
1 / 4

Baru-baru ini, jenama Omoda | Jaecoo Malaysia dedah ia telah berjaya anjurkan pertandingan teknikal pertamanya. Misi utamanya adalah untuk menggalakkan pembangunan profesional secara berterusan serta memastikan standard keselamatan dan kualiti pembaikan sentiasa terpelihara.

Menurut sub-jenama premium bawah naungan kumpulan jenama Chery itu, niatnya menganjur pertandingan tersebut adalah untuk memperkukuhkan mutu khidmat lepas jualannya, serta meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Pertandingan bertemakan Sharpening Skills, Shaping Futures itu merangkumi penilaian teori dan praktikal yang mengukur tahap penguasaan peserta dalam aspek teknikal. Melaluinya, Omoda | Jaecoo Malaysia mengiktiraf juruteknik berprestasi tinggi.

Dalam siaran akhbar rasminya, Omoda | Jaecoo Malaysia tambah pertandingan itu juga menjadi platform kepada juruteknik daripada rangkaian pusat servis jenama berkenaan untuk menguji dan meningkatkan pengetahuan teknikal, kemahiran diagnosis serta keupayaan membaiki kenderaan, selaras dengan perkembangan teknologi automotif yang semakin kompleks.

Tambah jenama itu lagi, usaha tersebut mencerminkan komitmentnya untuk membangunkan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi seiring dengan perkembangan rangkaian perkhidmatannya di seluruh negara. Setakat ini, rangkaian pengedar Omoda | Jaecoo Malaysia merangkumi 56 cawangan yang menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24 cawangan beroperasi di wilayah tengah, manakala wilayah selatan dan utara masing-masing mempunyai 11 cawangan. Pantai Timur pula mempunyai dua cawangan, sementara tujuh cawangan beroperasi di Malaysia Timur.

Kembali ke lamanTekan Habis