MINI Malaysia (BMW Group Malaysia) telah memperkenalkan satu edisi khas terhad berasaskan model MINI Countryman S ALL4. Dikenali sebagai Desert Night Edition, edisi khas ini diinspirasikan daripada keindahan landskap gurun pada waktu malam.
Hanya 48 unit telah diperuntukkan untuk pasaran tempatan, dan harga setiap unit bermula dari RM267,333 (tanpa insurans). Angka tersebut naik ke RM277,733 jika Waranti Lanjutan dan Pakej Servis ditambah sekali.
Edisi khas ini tampil dengan beberapa sentuhan kosmetik khas yang menyerlah. Ini termasuk kemasan eksklusif bertema Desert Night pada tiang C dan D, bampar hadapan, penutup hab roda serta penutup injap tayar yang menggunakan.
Daripada keseluruhan 48 unit yang ditawarkan, 30 unit tampil dalam warna Smokey Green, manakala baki 18 unit terima warna Slate Blue.
Beralih ke ruang kabin, edisi khas ini terima tambahan eksklusif seperti lambang Desert Night pada stereng, sulaman khas pada alas lantai, serta motif sama pada penutup kunci. Selain itu, tiada perubahan estetik lain boleh kami lapor.
Menarik sekali, edisi khas ini dilengkapi fungsi Active Driving Control atau Kawalan Pemanduan Aktif ditawarkan sebagai kelengkapan standard – fungsi ini tampil buat pertama kali bagi model MINI Countryman S ALL4 untuk pasaran tempatan.
Selain tambahan tersebut, tiada perubahan spesifikasi mekanikal lain boleh kami lapor. Pakej tren kuasa 2.0-liter 4-silinder turbo petrol dengan output 204HP dan 300Nm, transmisi 8-kelajuan automatik, dan setup pacuan semua roda (AWD), semua kekal.

















