PRODUK

MG ZS CKD BAKAL TIBA – 2 VARIAN CKD, DARI RM105,000*

19 Oct 2026
MG ZS CKD BAKAL TIBA – 2 VARIAN CKD, DARI RM105,000*
1 / 11

Setelah membuat tampilan awal di KIMS 2026 awal tahun ini, model crossover segmen-B terbharu dari SAIC Motor Malaysia (MG Motor Malaysia)  iaitu MG ZS kini bersedia untuk dilancarkan untuk pasaran tempatan menjelang akhir bulan Oktober ini.

Dalam satu siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan jenama itu, model tersebut akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dan dua varian dengan dua pilihan tren kuasa berlainan akan disediakan - MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+.

SAIC Motor Malalaysia juga telah mengumumkan harga anggaran bagi dua-dua varian ini iaitu RM105,000 bagi varian Turbo, manakala varian Hybrid+ pula dianggarkan berharga RM115,000.

Varian  Turbo akan dipacu enjin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol yang menjana 170PS dan 275Nm, dan nadi ini akan dipadankan dengan transmisi CVT automatik. Varian ini juga menjanjikan kecekapan bahan api pada kadar purata serendah 6.9 liter/100KM.

Varian Hybrid+ pula menggabung sebuah enjin 1.5-liter 4-silinder petrol bersama sebuah motor elektrik dan pek bateri jenis NCM berkapasiti 1.83kWj. Output keseluruhan setup ini adalah 215PS dan 465Nm, dan ia dipadankan transmisi automatik hibrid 3-kelajuan.

Khusus untuk varian Hybrid+, ia menjanji kecekapan bahan api lebih tinggi dengan purata serendah 4.7 liter/100KM, mod panduan elektrik penuh sehingga kelajuan 80km/j, serta jarak gerak maksimum gabungan petrol-elektrik sejauh 870KM.

Selain penggayaan yang sporty dan menyerlah, MG ZS baharu ini bakal berdiri sebagai antara model terbesar dalam segmennya menurut SAIC Motor Malaysia. Ini nyata melalui ukuran panjang 4,430MM dan lebar 1,818MM SUV ini.

Dengan saiz badan itu, SAIC Motor Malaysia juga mendakwa MG ZS ini turut memberikan ruang kabin dan but yang luas. Khusus bagi but, ia memberi ruang standard 443 liter, dan ini boleh dibesarkan lagi ke 1,457 liter dengan tempat duduk belakang dilipat.

 

Tahap  keselamatan tinggi pula dijanji melalui kelengkapan pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2.5. Dikenali sebagai MG Pilot, sorotan utama pakej ini termasuk fungsi Intelligent Cruise Assist (ICA) dan Driver Fatigue Monitoring System (DFMS).

Harga rasmi dan butiran lanjut bagi kedua-dua varian akan diumumkan ketika pelancarannya nanti.

Sehingga itu, ganjaran eksklusif bernilai RM3,000 bersama pakej penyelenggaraan percuma selama 5-tahun kini ditawarkan kepada 1,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan sebelum 30 Oktober 2026.

 

Kembali ke lamanTekan Habis