MFORCE SERAH 6 MOTOSIKAL KEPADA PDRM UNTUK PROGRAM PENILAIAN
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya bahagian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), telah menerima enam jentera motosikal prestasi tinggi baru-baru ini yang dibekalksn oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce).
Perkara itu disahkan oleh syarikat gergasi pemasangan dan pengedaran dua roada yang bertapak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu awal minggu ini. Menurut MForce, semua enam jentera tersebut akan melalui program penilaian Proof of Concept (PoC) oleh PDRM.
Satu majlis penyerahan rasmi telah dianjurkan oleh MForce di ibu pejabatnya yang terletak di Valdor, Pulau Pinang, pada 26 Oktober 2026. Majlis tersebut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Mforce Asri Ahmad, Pengarah JSPT Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, dan wakil Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) PDRM.
Jentera-jentera dua-roda yang diserahkan MForce ke PDRM untuk program ini merangkumi motosikal jenis sport-touring CFMoto 1250TR-G dan Brixton K750GT, serta motosikal jenis adventure touring saiz penuh Moto Morini X-Cape 1200.
Program penilaian ini akan berlangsung selama tiga bulan di mana JSPT akan mengumpul maklum balas pengalaman penggunaan sebenar oleh para anggotanya. Penilaian tersebut dijangka membantu menentukan jika setiap model memenuhi keperluan operasi JSPT.
Pada masa yang sama, program penilaian tersebut juga bakal bantu mengenal pasti jika masing-masing memerlukan penambahbaikan atau penyesuaian untuk menjalankan tugas penguatkuasaan oleh anggota-anggota JSPT.
Hasil penilaian sepanjang tiga bulan itu akan menjadi rujukan bersama dalam menentukan hala tuju dan tindakan susulan projek berkenaan, sekali gus membantu MForce membangunkan penyelesaian mobiliti yang lebih bersesuaian dengan keperluan agensi penguatkuasaan.




