UMUM

MALAYSIA AUTOSHOW SAH KEMBALI JUN 2027 DI MAEPS, SERDANG

24 Sep 2026
MALAYSIA AUTOSHOW SAH KEMBALI JUN 2027 DI MAEPS, SERDANG
1 / 7

Acara Malaysia Autoshow akan kembali berlangsung di MAEPS, Serdang tahun depan, khususnya dari Jun 4 ke Jun 8, 2027.

Perkara ini disahkan pihak penganjur bersama iaitu Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii) bersama Moonman Events Sdn Bhd awal minggu ini susulan acara khas ‘Jalur Gemilang Gathering’ di MAEPS sempena Hari Malaysia awal bulan ini.

Semasa acara tersebut, sebanyak 230 kenderaan merangkumi warna-warna Jalur Gemilang (merah, biru, putih dan kuning) dan para pemilik-pemilik berjaya berhimpun untuk ambil bahagian dalam acara khas tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Moonman Events Dickson Boon, acara-acara peringkat akar-umbi sebegini merupakan salah satu elemen penting bagi acara Malaysia Autoshow yang dianjur bersama syarikat beliau.

“Pada asasnya, Malaysia Autoshow adalah acara yang berteras pada orang ramai. Acara seperti Perhimpunan Jalur Gemilang memperlihatkan bagaimana minat bersama terhadap mobiliti mampu menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, komuniti, dan minat yang berbeza,” tambah Boon lagi.

Malaysia Autoshow 2027 sekali lagi akan menghimpunkan pengeluar kenderaan, penyedia teknologi, pihak berkepentingan industri dan pengguna, serta memberikan akses kepada rakyat Malaysia terhadap kenderaan, teknologi dan perkembangan terkini yang mencorakkan sektor automotif dan mobiliti.

Seperti ramai ketahui, acara Malaysia Autoshow sebelum ini diadakan secara tahunan, dan kali terakhir ia dianjur adalah pada tahun 2025. Acara tersebut telah beralih sebagai acara dwi-tahunan selepas pemeteraian perjanjian antara MARii dan Malaysian Automotive Association  (MAA) diumumkan pada awal tahun lepas (2025).

Menerusi perjanjian tersebut, dua-dua pihap telah bersetuju untuk memastikan acara Malaysia Autoshow tidak bercanggah dengan acara KL International Mobility Show (KLIMS) anjuran MAA yang juga diadakan secara dwi-tahunan – satu edisi KLIMS telahpun dianjur MAA awal tahun ini pada bulan Jun juga.

Butiran lanjut mengenai Malaysia Autoshow 2027 akan diumumkan secara berperingkat menjelang acara tersebut. Untuk maklumat lanjut, bakal penganjur boleh mengikuti laman rasmi Malaysia Autoshow di Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan Threads.

Pada masa yang sama, Orang ramai juga digalakkan untuk mendaftarkan minat (ROI) melalui laman web rasmi (www.autoshow.my) bagi Malaysia Autoshow 2027 untuk menerima maklumat dan pengumuman terkini, termasuk perkembangan mengenai penjualan tiket, jenama yang mengambil bahagian, serta program dan aktiviti.

Kembali ke lamanTekan Habis