UMUM

MALAYSIA AUTO XPO (MAX) 2026 RASMI DILANCAR, BERLANGSUNG DI MAEPS NOV 7 & 8

07 Oct 2026
MALAYSIA AUTO XPO (MAX) 2026 RASMI DILANCAR, BERLANGSUNG DI MAEPS NOV 7 & 8
1 / 4

Satu lagi acara automotif bakal berlangsung di MAEPS, Serdang bulan hadapan. Dikenali sebagai Malaysia Auto Xpo (MAX) 2026, acara milik Alaf Sentosa Sdn Bhd ini rasmi diumum dan dilancarkan oleh penganjur Element X Strategies semalam.

Element X Strategies sudah dikenali ramai melalui pengendalian Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur sebelum ini dari 2023 hingga ke 2025, serta acara himpunan khas pemilik dan peminat Nissan GT-R iaitu Malaysia GT-R Festival 2025.

Menarik sekali, MAX 2026 akan menggabung International Auto Modified (IAM), Tempatan Fest dan Driftnutz, sekaligus menggabungkan kereta ubah suai, kereta klasik, produk aftermarket, teknologi, jual beli kereta dan gaya hidup dalam satu acara.

Menurut Jason Yap, Ketua Pegawai Eksekutif Alaf Sentosa Sdn Bhd,  MAX 2026 bukan sekadar mahu merancakkan perniagaan dalam industri automotif, tetapi ia turut menjadi platform untuk menggalak budaya automotif yang lebih bertanggungjawab dan selamat.

Yap juga menyifatkan konsep MAX sebagai “MAHA of automotive shows”, dengan hasrat untuk menghimpunkan lebih banyak acara dan komuniti automotif di bawah satu bumbung serta berkembang menjadi acara tahunan yang lebih besar.

Sorotan utama MAX 2026 termasuk pertandingan kenderaan ubahsuai bersama cabaran dyno, perlumbaan drift, perlumbaan simulator, acara lelongan kereta, perhimpunan kelab dan kumpulan peminat kereta, serta pelbagai aktiviti bertema gaya hidup lain.

Selain itu, satu lagi tarikan utama adalah acara Exclusive Car Tour to Japan. Jelajah 9,000KM dari Kuala Lumpur ke Tokyo ini akan melalui Thailand, Laos, Vietnam, China dan Korea Selatan sebelum berakhir di ibu pejabat Liberty Walk di Tokyo.

Dalam perkembangan berkaitan, Yap berkata, pihaknya juga sedang memuktamadkan kerjasama dengan Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia untuk mendapat pengiktirafan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengiktirafan tersebut membabitkan insentif potongan cukai kepada rakan kongsi dan penaja. Walaubagaimanapun, butiran lanjut mengenai mekanisme dan syarat kelayakan insentif berkenaan belum diperincikan.

Buat masa kini, penganjur MAX 2026 sudah mula menawar tiket pra-jualan bermula serendah RM25 untuk pas sehari seorang. Kanak-kanak bawah 10 tahun pula menikmati kemasukan percuma.

Tiket masuk boleh dibeli secara atas talian melalu platform CheckpointSpot dan Ticket2U. Maklumat lanjut akan dikeluarkan dalam minggu-minggu akan datang melalui laman media sosial rasmi MAX 2026 – khususnya Facebook dan Instagram.

Kembali ke lamanTekan Habis