LEBIH 24,000 UNIT FORD RANGER GENERASI BAHARU SUDAH TERJUAL DI MALAYSIA
Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) baru-baru ini meraikan pencapaian jualan lebih 24,000 unit bagi tawaran utamanya iaitu Ford Ranger generasi baharu yang diperkenalkan sejak tahun 2022.
Syarikat itu berkata pencapaian berkenaan mencerminkan keyakinan pelanggan tempatan terhadap tawaran pikap 4x4 tersebut yang digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk tugas kenderaan kerja, kegunaan keluarga, serta aktiviti pengembaraan.
Dalam perkembangan berkaitan, Auto ConneXion-Ford juga telah memperluaskan barisan modelnya pada Julai lalu dengan pelancaran rasmi Ranger Sport 2.0L dan 3.0L serta Ranger Platinum 3.0L.
Pada masa yang sama, Auto ConneXion-Ford turut memberi menegaskan tumpuan kepada pengalaman pemilikan menerusi pelbagai aktiviti komuniti. Antaranya ialah penganjuran acara sulung Ford Nation awal bulan lalu di Heritage Valley, Kuala Lumpur.
Selain itu, pemilik Ranger yang gemar aktiviti lasak juga berpeluang sertai program Ford Ranger Getaways yang berlangsung pada bulan ini. Program tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2022, dan edisi bulan ini bakal menghimpunkan 20 pemilik Ranger untuk satu kembara dari Seremban ke StarFresh Agro Park di Negeri Sembilan.
Berlaih ke operasi umumnya, Auto Connexion-Ford kini disokong 33 pengedar Ford sah di seluruh negara. Ini termasuk 9 pusat jualan dan servis terletak di Malaysia Timur, serta sebuah gudang alat ganti baharu dibuka di Kota Kinabalu pada bulan Julai lalu.







