Syarikat automotif nasional Proton tidak ketinggalan di KLIMS 2026. Awal hari ini, satu varian baharu bagi Proton e.MAS 7 telah rasmi diumumkan – e.MAS 7 Premium Plus.
Diposisi atas varian Premium, varian baharu ini tiba dengan beberapa penambahbaikan kritikal bermula dengan pek bateri 68.39kWj lebih besar yang memberi jarak bergerak WLTP lebih jauh – 450KM – serta koblehan menerima input pengecasan pantas DC lebih laju – 115kW.
Dari segi kelengkapan, varian Premium Plus ini juga menerima beberapa tambahan baharu iatu fungsi urut (massage) bagi tempat duduk hadapan, serta sandar kaki baharu bagi tempat duduk penumpang hadapan. Selain tambahan ini, tiada perubahan lain kami boleh lapor – semua kekal sama seperti varian Premium termasuk pakej sistem ADAS.
Kami juga boleh sah tiada perubahan dari segi trenkuasa juga. Varian Premium Plus ini kekal dengan motor elektrik hadapan yang menghasil 218PS & 320Nm yang menjanji pecutan 0-100km/j hanya dalam 7.4 saat.
Beralih ke harga dan, dengan semua tambahan kami lapor tadi, varian Premium Plus baharu ini yang juga dipasang secara tempatan (CKD) di Tanjong Malim, Perak ini ditawarkan pada RM118,800 tanpa insurans – RM6,000 lebih mahal dari varian Premium.
Termasuk sekali dalam harga tersebut ialah jaminan waranti kenderaan asas 6-tahun tanpa had batuan, serta jaminan waranti bateri dan komponen EV selama 8-tahun atau 160,000KM.



