KEVIN BARBIAN DILANTIK KETUA PEGAWAI OPERASI BAHARU MERCEDES-BENZ MALAYSIA
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah rasmi umumkan pelantikan Kevin Barbian sebagai ketua pegawai operasi (COO) baharunya. Perkara itu disahkan melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan awal minggu ini.
Barbian mengganti Nadia Trimmel yang telah memegang jawatan tersebut sejak Ogos 2024. Trimmel pula akan berpindah ke jawatan baharunya sebagai pengarah jualan Mercedes-Benz Vans UK.
Dengan pengalaman merentasi pembangunan perniagaan, pendigitalan dan pengalaman pelanggan dalam Mercedes-Benz, Barbian mula kerjayanya di jenama Jerman berlambang bintang tiga bucu ini pada tahun 2011 sebagai perunding pembangunan perniagaan.
Beliau kemudian menerajui telematik komersial dan perkhidmatan perniagaan-ke-perniagaan sebelum mengasaskan Mercedes-Benz Connectivity Services GmbH pada tahun 2016, di mana beliau mengetuai operasi jualan dan pemasaran anak syarikat tersebut.
Selain itu, Barbian juga telah memimpin IT dan transformasi digital, termasuk sebagai peneraju digital untuk bahagian EQ Mercedes-Benz di mana beliau mengendalikan teknologi kemas kini melalui udara (OTA) dan fungsi atas permintaan. Ini diikuti dengan penubuhan dan penskalaan unit digital, data dan AI dalam perkhidmatan pelanggan IT merentasi pelbagai hab antarabangsa.
“Saya berharap dapat membina momentum perniagaan yang kukuh dan bekerjasama dengan pasukan berbakat dan rangkaian runcit kami untuk meningkatkan lagi perjalanan pelanggan. Tumpuan kami kekal pada penyampaian produk yang diingini, pengalaman yang lancar dan nilai yang bermakna kepada pelanggan kami,” kata Barbian.


