Awal minggu ini, beberapa laporan telah timbul menyatakan bahawa kerajaan Malaysia sedang pentimbang sebuah cadangan untuk menawar sebuah skim subsidi RM1,000 kepada rakyat untuk menukar dari motosikal lama ke model yang baharu.
Menurut laporan ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah berkata pihak kementerian beliau sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan program geran padanan bagi penggantian kenderaan lama kepada motosikal.
Melalui cadangan tersebut, pemilik yang menukar motosikal lama dan membeli motosikal baharu boleh menerima bantuan sekitar RM1,000.
Loke juga dedah bahawa cadangan itu telah dicetuskan oleh Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wong Fung yang mencadangkan supaya skim sedia ada turut merangkumi motosikal.
Sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan sekurang-kurang RM10 juta untuk program geran padanan penggantian kenderaan lama. Skim sedia ada ini menawarkan insentif RM2,000 bagi setiap kenderaan yang layak.
Menerusi program tersebut, pemilik yang melupuskan kereta berusia lebih 20 tahun dan membeli sebuah model Proton atau Perodua baharu juga boleh menerima tambahan sebanyak RM2,000 daripada pengeluar nasional tersebut, jadi jumlah keseluruhan insentif yang boleh diterima mencecah RM4,000.
Sambutan terhadap program ini boleh dikatakan cukup tinggi apabila peruntukan yang disediakan habis digunakan dalam tempoh kira-kira tiga bulan. Ketika ini, Loke juga tambah MOT tidak mempunyai peruntukan tambahan untuk meneruskan program tersebut.
Namun begitu, pihaknya berharap untuk memperoleh dana tambahan dan pada masa sama mempertimbangkan peluasan program kepada motosikal. Subsidi motosikal pula dicadangkan sekitar RM1,000 – lebih rendah berbanding bantuan untuk kereta kerana jumlah motosikal di Malaysia jauh lebih besar.
Antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah penggunaan sebahagian hasil yang dijana MOT menerusi penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan. Dana tersebut boleh disalurkan semula kepada kementerian oleh Kementerian Kewangan untuk membiayai program-program lain yang termasuk inisiatif berkaitan keselamatan jalan raya.
Sekiranya semuanya berjalan lancar dan sumber kewangan dapat dikenal pasti, skim bantuan ini mungkin diperkenalkan seawal penghujung 2026 atau awal 2027. Sasaran utama skim ini pula adalah pemilik motosikal berusia lebih 10 tahun yang melupuskan motosikal lama mereka untuk membeli unit baharu.
Menurut Wong, MMSDA sudah memberi cadangan ini kepada Perdana Menteri sejak Disember tahun lalu. Persatuan tersebut percaya pelaksanaan skim ini mampu meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan pencemaran, bantu ringankan beban golongan berpendapatan rendah, serta merancakkan industri dua roda tempatan dan beri kesan positif kepada ekonomi.
Buat masa ini, skim subsidi padanan RM1,000 untuk menukar dari motosikal yang lama ke baharu masih lagi di peringkat cadangan dan belum dilaksanakan. Pelaksanaannya bergantung kepada kelulusan serta sumber peruntukan yang dapat dikenal pasti.




