JPJ GANTUNG PERKHIDMATAN MYEG, ZETRIX AI MULAI HARI INI
Mulai hari ini (5 Okt 2026), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaporkan telah mula gantung perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd – dua-dua entiti berada di bawah naungan Kumpulan MYEG – sebagai Ejen Pemungut bagi pihak JPJ.
Menurut Ketua Pengarahnya JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan, serta kedudukan obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.
Menurut satu laporan oleh akhbar The Straits Times (ST) dari Singapura, penggantungan ini timbul akibat kegagalan Zetrix menyerahkan kutipan sebanyak RM200 juta kepada jabatan tersebut. Laporan yang sama juga mengata jumlah yang sama itu membabitkan transaksi pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan saman trafik sejak 19 Mei hingga ke 30 Sept.
“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya lagi dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat minggu lepas.
Walaupun penggantungan itu diumumkan, JPJ juga mengesahkan tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum 5 Okt, ia masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.
“Tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Okt 2026, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh Malaysia,” tambah Datuk Aedy lagi.
Pada masa yang sama, pembayaran saman melibatkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor, bermula 8AM hingga 10PM.
Selari dengan penggantungan ini, JPJ juga menjamin enyampaian perkhidmatan kepada orang ramai akan diteruskan melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan. Bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, saluran yang boleh digunakan ialah:
- Kaunter JPJ.
- Aplikasi MyJPJ dan Portal Awam JPJ bagi kenderaan persendirian dan e-hailing.
- Kios JPJ bagi kenderaan persendirian.
- Kaunter Mobile JPJ bagi kenderaan persendirian dan perdagangan.
- Pejabat Pos bagi kenderaan persendirian.
- Puspakom bagi kenderaan persendirian dan perdagangan kategori De-controlled.
Untuk pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula, ini boleh dibuat kini melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, Kaunter Mobile JPJ dan Pejabat Pos.
Bagi permohonan Lesen Belajar Memandu (LDL), pemohon boleh membuat sedemikian melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ dan Kaunter Mobile JPJ. Saluran sama turut disediakan untuk semakan dan pembayaran saman JPJ.


