INDUSTRI

INSURANS HARIAN PERLU LEBIH MAMPU DIAKSES PEMANDU E-HAILING, KATA INDUSTRI

18 Nov 2026
INSURANS HARIAN PERLU LEBIH MAMPU DIAKSES PEMANDU E-HAILING, KATA INDUSTRI
1 / 5

Pakej insurans harian perlu dijadikan lebih mampu diakses oleh pemandu e-hailing, menurut panel industri di dalam dialog industri bertajuk The Cost of Driving: E-Hailing Insurance, Market Access and Malaysia's Gig Economy, semalam.

Panel dialog yang dianjurkan oleh LEGASI Research di Kuala Lumpur itu terdiri dari Kabeer Singh, Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Zarra Rawi, wakil Dasar Awam dan Hal Ehwal Kerajaan, inDrive Malaysia, Mushfique Ahmed Chowdhury, Ketua Perhubungan Kerajaan dan Pematuhan Undang-undang Maxim dan Masrizal Mahidin (Jose Rizal), Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM).

Dialog tersebut menyentuh mengenai syarat-syarat operasi e-hailing, termasuk kos bagi insurans tambahan yang dikenakan kepada pemandu e-hailing.

Menurut panel tersebut, pemandu mempunyai akses kepada insurans tahunan, yang menjadi kos berpatutan bagi mereka yang menjalankan e-hailing secara sepenuh masa, tetapi menjadi satu beban kepada pemandu yang beroperasi secara sambilan. Justeru, akses kepada insurans harian yang lebih optimum bagi pemandu dari golongan ini tidak dapat diakses di kebanyakan platform.

Masrizal berkata, “Isu insurans e-hailing bukan sekadar kenaikan premium, tetapi juga melibatkan keadilan struktur kos dan kelangsungan ekonomi pemandu. Corak kerja mereka berbeza, jadi pendekatan yang seragam tidak semestinya sesuai. GEM berpandangan struktur insurans wajar dikaji semula dengan menyediakan pilihan perlindungan yang lebih fleksibel, telus dan sepadan dengan penggunaan sebenar, tanpa menjejaskan perlindungan.”

“Kami menerima pertanyaan daripada pemandu mengenai insurans harian, khususnya mereka yang tidak memandu sepenuh masa. Jika perlindungan yang sesuai sukar diperoleh, ada pemandu yang mungkin mempertimbangkan untuk menggunakan platform lain atau menilai semula sama ada mahu terus terlibat dalam industri e-hailing. Oleh itu, usaha memperluas akses kepada insurans untuk kumpulan pemandu yang berbeza merupakan isu penting bagi seluruh industri, di samping memastikan perlindungan yang mencukupi”, kata Kabeer Singh.

Zarra pula berpendapat struktur insurans perlu mengambil kira corak operasi pemandu yang berbeza, dan tidak wajar jika keperluan perlindungan mereka dianggap sama.

“Akses kepada insurans juga boleh mempengaruhi masa dan platform yang dipilih oleh pemandu untuk bekerja. Jika keadaan ini menyebabkan taburan pemandu aktif tidak seimbang antara platform, ia mungkin memberi kesan kepada ketersediaan perkhidmatan, pilihan penumpang dan juga tambang. Risiko ini wajar dilihat dengan teliti, sambil memastikan perlindungan yang mencukupi terus menjadi keutamaan”, kata beliau.

Panel juga mendakwa walaupun telah melaksanakan pelbagai libat urus bersama syarikat insurans, jawapan yang diberikan adalah kerugian yang dialami syarikat insurans dalam menawarkan insurans harian kepada pemandu. 

Apabila ditanya Tekan Habis sama ada maklumat tentang risiko mahupun nisbah tuntutan dapat dikongsi, mereka juga mendakwa bahawa mereka masih lagi tiada maklumat berguna yang pernah dikongsi kepada platform e-hailing di panel tersebut.

Mushfique pula berkata, “Usaha memperluas akses kepada insurans memerlukan pengaturan yang praktikal untuk pemandu, pengendali dan syarikat insurans. Ini termasuk kejelasan mengenai bila perlindungan berkuat kuasa, bagaimana status perlindungan disahkan serta cara tuntutan dikendalikan, khususnya bagi pemandu yang menggunakan lebih daripada satu platform. Kemampuan membayar perlu diimbangi dengan pengurusan risiko yang berkesan dan perlindungan yang mencukupi.”

Kembali ke lamanTekan Habis