HUKUMAN LEBIH BERAT ATAS KESALAHAN LUMBA HARAM & ‘TONTO’
Kegiatan lumba haram kini menjadi kesalahan berasingan menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang berkuat kuasa mulai hari ini (16 Oktober 2026). Perkara itu adalah salah satu daripada peruntukan baharu menerusi Seksyen 42A APJ (Pindaan) 2026.
Secara keseluruhan, pindaan ini merangkumi sekurang-kurangnya 42 fasal bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, keberkesanan penguatkuasaan dan penyampaian perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Khusus buat kesalahan lumba haram, penguat kuasa kini boleh ambil tindakan tanpa perlu menunggu kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa. Ini juga meliputi perbuatan berlumba atau menduga kelajuan di jalan raya, dan hukuman yang pesalah dikenakan berbeza mengikut sabitan pertama dan kesalahan berulang.
Bawah seksyen ini, hukuman untuk sabitan pertama adalah dendan antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara 2-tahun, atau kedua-duanya. Bagi pesalah sabitan kedua dan berikutnya, mereka akan didenda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Perbuatan dan kegiatan ‘tonto’ – individu atau kumpulan yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan – jugsa diberi perhatian. Kegiatan ini termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi bagi membantu pihak tertentu elak tindakan undang-undang.
Pesalah yang disabitkan dengan gejala ‘tonto’ kini boleh didenda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara 1 hingga 5 tahun, atau kedua-duanya. Kesalahan ini turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap buat penguat kuasa.
Seterusnya, pindaan baharu Seksyen 53B telah meningkatkan akauntabiliti pemunya berdaftar terhadap kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Langkah ini menutup kelompongan undang-undang yang membolehkan pihak tertentu elak tanggungjawab terhadap kesalahan menggunakenderaan mereka.
Pindaan Seksyen 108 pula memperketatkan hukuman terhadap pemalsuan rekod, dokumen dan maklumat kenderaan. Ini termasuk kegiatan manipulasi identiti kenderaan dan kenderaan klon. Bagi kesalahan tertentu, hukuman bawah sekysen ini termasuk denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.
Selain itu, pindaan baharu pada APJ juga memperluaskan asas perundangan penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis secara elektronik. Langkah ini membantu buka ruang kepada pelaporan kemalangan secara digital, dan ini tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan.
Kawal selia keselamatan kenderaan motor turut diperkemaskan di mana ia kini meliputi kenderaan elektrik (EV), kenderaan yang diubah suai, komponen kenderaan dan kenderaan mikromobiliti.
Akhir sekali, peningkatan had maksimum kompaun daripada RM300 ke RM500 hanya akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2029. Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), perubahan had tersebut tidak bermaksud semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik.
Amaun sebenar masih bergantung pada jenis kesalahan dan kaedah yang ditetapkan APJ 1987. Tambah MOT lagi, tarikh pelaksanaan berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan susulan pembentangan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Parlimen.



